LONDON – Tawaran Chelsea sebanyak £21 juta bagi mendapatkan khidmat pemain tengah Atalanta, Franck Kessie ditolak serta merta.
Agen pemain itu berkata, Kessie diburu Arsenal, Manchester United dan Liverpool.
Antonio Conte dikatakan mahu menguatkan bahagian tengah pasukannya dan mempunyai pilihan beberapa pemain.
Laporan di Itali mendakwa Kessie antara pemain yang sedang dipantau the Blues.
Wakil pemain berusia 20 tahun itu, George Atangana, terbang ke London untuk mengadakan perbincangan dengan Chelsea tetapi mendedahkan Conte berdepan persaingan daripada kelab EPL.
“Buat masa ini saya tidak boleh kata mengenai nilai pembeliannya (Kessie) tetapi kita sedang bercakap mengenai salah seorang pemain muda terbaik dunia.
“Namun apa yang penting bagi kami adalah satu hala tuju terbaik dan betul untuknya, dia masih muda dan kami perlu berhati-hati tentang pembangunan karier bola sepak beliau,” kata Atangana.
Kessie telah melakukan 16 penampilan bersama Atalanta pada musim ini dan menjaringkan enam gol. – Agensi