Notis penerbangan Eaglesxpress untuk membawa balik kakitangan di Jeddah ke Malaysia malam ini.

KUALA LUMPUR – Kakitangan Eaglexpress Air Charter Sdn. Bhd. yang berada di Jeddah akan dibawa balik ke Malaysia dengan pesawat milik syarikat itu pada malam ini.

Sumber berkata, pesawat Boeing 747 akan menerbangkan kira-kira 60 kakitangan kakitangan Eaglexpress daripada pelbagai jawatan dan bahagian ke Kuala Lumpur.

Pesawat dijangka berlepas dari Jeddah pada pukul 8 malam (waktu tempatan) dijadual tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur pada pukul 2 pagi esok.

Sumber menambah, pesawat Eaglexpress yang sudah dicat berwarna putih itu akan hanya membawa kakitangan, tidak ada penumpang lain.

Ia selari dengan arahan Mavcom membatalkan Lesen Perkhidmatan Udara (ASP) Eaglexpress pada 20 Disember lalu.

Dengan pembatalan ASP ini, Eaglexpress adalah dilarang untuk membawa melalui udara atau menggunakan mana-mana pesawat bagi membawa penumpang, mel atau kargo untuk sewa atau upah dalam perjalanan tidak berjadual sama ada di laluan domestik atau antara bangsa.

Jika syarikat penerbangan tersebut terus menjalankan perkhidmatan sedemikian, ianya merupakan suatu kesalahan di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 (Akta 771).

ASP Eaglexpress adalah dibatalkan berkuat kuasa 21 Disember 2016.

Sebelum ini, kakitangan Eaglexpress memberitahu, kebanyakan mereka telah tamat tempoh visa. Kalau mengikut jadual asal, mereka sepatutnya balik ke tanah air pada Oktober lalu.

Eaglesxpress mendapat perhatian media selepas gagal melunaskan gaji kakitangan pada bulan Mac lalu disebabkan mengalami kerugian AS$30 juta apabila syarikat itu tidak dapat beroperasi antara empat dan lima bulan kerana tidak memiliki Audit Keselamatan Operasi IATA (IOSA).

IOSA dikuatkuasakan dalam industri penerbangan di Arab Saudi adalah penanda aras pengurusan keselamatan global bagi syarikat penerbangan.

Eaglexpress diwajib memilikinya kerana syarikat penerbangan itu disewa oleh Saudia untuk membawa jemaah haji dan umrah bagi syarikat berkenaan.

Syarikat penerbangan sewa itu hanya memperoleh IOSA pada Mei lalu dan beroperasi semula pada Julai lepas.

Berikutan masalah itu, kakitangan Eaglexpress mendakwa syarikat penerbangan itu tidak membayar tunggakan elaun, tidak menjelaskan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Pekeso.

Setakat ini, difahamkan syarikat itu masih belum menjelaskan tiga bulan gaji asas kakitangan sejak Oktober lalu.

Sementara itu, seorang kakitangan Eaglexpress memberitahu, semua kakitangan di sini gembira kerana akhirnya akan balik ke Malaysia.

“Ada di antara yang sudah enam bulan tinggal di sini, memang kami semua tidak sabar hendak balik.

“Apa-apa pun hendak sampai rumah dulu. Kemudian baru fikir apa nasib kami nanti,” katanya sambil mengeluh kerana tidak pasti syarikat penerbangan itu akan melunaskan gaji tiga bulan dan elaun setahun yang tertunggak.

Katanya, tanpa ASP sudah tentu masa depan Eaglexpress sukar diramalkan, kecuali syarikat itu serius mahu memperbaiki kelemahan dalam operasi, pengurusan dan kewangan unruk beroperasi semula.

Beliau akui semakin ‘jauh hati’ dengan majikannya kerana tidak menjaga kebajikan kakitangan dengan baik sehingga mereka tidak dibayar gaji sedangkan khidmat terbaik sudah diberikan.

“Kesukaran kami berada di negara orang tanpa dibayar gaji asas, memang menyukarkan. Nasib baik kebanyakan kami ada keluarga yang sudi membantu.

“Bagi mereka yang terpaksa meminjam pula memang berharap syarikat akan segera membayar gaji dan elaun supaya hutang-hutang dapat dibayar,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast