PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan dalam proses memuktamadkan penubuhan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Malaysia (MTSB) yang akan bertindak sebagai badan penyiasatan bebas kemalangan multimod pengangkutan.

Menurut kementerian, MTSB adalah badan berkanun yang akan menjalankan penyiasatan bebas kemalangan semua mod pengangkutan iaitu darat (jalan raya dan rel), maritim (termasuk pengangkutan sungai) dan udara.

“Suatu Rang Undang-Undang berkaitan perkara ini sedang digubal bagi merealisasikan penubuhan MTSB.

“Beberapa akta lain serta peraturan sedia ada yang berkaitan akan dipinda sewajarnya selaras dengan penubuhan MTSB ini kelak,” kata kementerian itu dalam kenyataan di sini, Jumaat.

Kementerian Pengangkutan berkata perkembangan berhubung kemajuan penubuhan MTSB akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Cadangan penubuhan MTSB dibuat berdasarkan kepada syor di dalam ‘Laporan Panel Penasihat Bebas Berhubung Hasil Siasatan Kes Kemalangan Bas Henti-Henti Di KM 3.6 Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur’ yang dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada 2014.

Kementerian Pengangkutan melalui Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) juga telah melaksanakan sesi libat urus bersama pelbagai pihak berkepentingan berhubung dengan penubuhan lembaga ini pada tahun lepas.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast