Noh Omar

Alasan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meletak jawatan dalam Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) kerana tidak boleh bekerjasama dengan exco FAS tidak boleh diterima akal.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, sepatutna exco-exco FAS yang tidak sebulu dengan Menteri Besar Selangor itu sepatutnya meletakkan jawatan bukan Mohamed Azmin.

“Sebagai Menteri Besar sudah tentulah Azmin perlu sedar dia tidak boleh menghampakan harapan anak-anak muda Selangor. Alasan meletak jawatan presiden FAS kerana tidak sehaluan dengar Exco FAS adalah satu kenyataan ugutan politik.

“Beliau dengan secara tidak langsung menetapkan syarat jika hendak meneruskan tugas menjadi presiden FAS exco-exco yg tidak sehaluan dengannya mesti meletak jawatan atau adakah beliau mengharapkan penyokong Merah Kuning akan berdemonstrasi supaya mendesak beliau terus memegang jawatan presiden FAS.

“Alasan tidak boleh berkerjasama dengan exco FAS tidak boleh diterima akal kerana dalam kerajaan negeri Selangor yang terdiri dalam parti caca marba yang sentiasa menghadapi kemelut kepimpinan ditambah pula dengan Pas yang tidak ada dalam Pakatan Harapan tetapi masih menjadi exco pun Azmin mampu menguruskannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noh yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar dan Kerajaan Tempatan itu berkata, dahulu Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah seteru politik Azmin tetapi sekarang menjadi rakan seperjuangan semata-mata untuk kepentingan politik.

“Tidak ada sebab mengapa Azmin tidak boleh berkerjasama dengan Exco FAS demi untuk kemajuan kejayaan pasukan Merah Kuning. Soalnya hari ini mengapa Azmin tidak mahu menunaikan janji untuk memberi peruntukan kepada FAS dan kemelut dalam FAS berterusan kerana Azmin terus bersikap seperti lagu bangau oh bangau yang hanya tahu mencari salah orang sahaja,” ujarnya.

Amat menghampakan kerajaan negeri Selangor bukan sahaja gagal menguruskan masalah rumah PPR, masalah air, masalah sampah dan kini masalah FAS pula, katanya.–MalaysiaGazette