gambar fail MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Satu pihak tentang, satu pihak sokong.

Itu yang berlaku dalam kes Program Dwi Bahasa (DLP) terutama di Perak dimana ramai keluarga India menghantar anak-anak mereka ke sekolah berkenaan.

Pelaksanaan DLP dalam bahasa Inggeris di sekolah Tamil terpiliih seluruh negara mulai Januari 2017 sebelum ini juga mendapat bantahan sebilangan kecil masyarakat India.

Bagaimanapun ramai ibu bapa pula lebih teruja dengan pelaksanaan DLP di sekolah Tamil dan begitu cenderung untuk mendaftarkan anak mereka.

Senario itu menarik perhatian di kebanyakan sekolah Tamil terlibat program DLP di negeri Perak melibatkan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) St. Philomina; SJKT Chettiat; SJKT Tapah; SJKT, Slim River; SJKT Katoyong dan SJKT Tan Sri Manikavasagam bakal melaksanakan DLP apabila sesi persekolahan bermula 3 Januari depan.

“Kami memberi taklimat kepada para ibu bapa yang mahu mendaftarkan anak di tahun satu mengenai Program DLP dan mengedarkan borang untuk mengisi sekiranya bersetuju.

“Apa yang menghairankan mereka sudah menandatanganinya sebagai lampu hijau untuk anak mereka mempelajari Matematik dan Sains dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris menerusi DLP,” kata wakil PIBG SJKT St. Philomina yang tidak mahu dikenali dalam akhbar Tamil Nesan hari ini.

Semasa DLP dilaksanakan di sekolah kebangsaan pada tahun 2015, Timbalan Menteri Pendidikan Kedua, P. Kamalanathan menyoal kenapa ia tidak dilaksanakan di sekolah-sekolah Tamil.

Malangnya, apabila DLP mahu dilaksanakan di beberapa sekolah Tamil terpilih dengan persetujuan ibu bapa ia ditentang oleh sekumpulan pihak dalam masyarakat India.

Mereka rata-ratanya mendakwa pelaksanaan DLP akan menjejaskan bahasa ibunda Tamil selain mahu ia dihentikan segera daripada dilaksanakan di sekolah Tamil.

Program DLP sebenarnya tidak memaksa sesiapa untuk mengikutinya di sekolah Tamil, sebaliknya ia dilaksanakan selepas mendapat sokongan dan persetujuan ibu bapa murid sekolah Tamil.

Walaupun pelbagai pihak dalam komuniti India berkempen untuk meningkatkan bilangan murid di sekolah Tamil, jumlah pelaajar India di sekolah kebangsaan tetap meningkat.

Hari ini, banyak sekolah Tamil dibina serba moden dan sekiranya angka murid India terus menurun, ia adalah satu indikasi tidak sihat untuk sekolah Tamil di negara ini.

Maka beberapa ibu bapa menyeru masyarakat India supaya mendaftarkan anak mereka di sekolah Tamil untuk terus memelihara masa depan sekolah vernakular bahasa ibunda itu. – MalaysiaGazette