Noor Rashid Ibrahim
MELAKA – Kadar indeks jenayah seluruh negara dalam tempoh Januari tahun ini hingga semalam menunjukkan penurunan 2.7 peratus kepada 112,000 kes berbanding 115,225 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata penurunan berkenaan ekoran pelbagai langkah prokatif Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan pelbagai pihak terutamanya masyarakat dalam membanteras jenayah.

“Polis sahaja untuk menyelesaikan masalah jenayah, impaknya terhad, kita hanya dapat memaksimumkan impak ini kalau dapat membawa semua ahli masyarakat berbincang dan merancang bagaimana berdepan dengan kes jenayah masa kini.

Pada saya ini adalah pendekatan kita yang sedang kita laksanakan secara berterusan dan ia merupakan antara pendekatan negara maju,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutup seminar ‘Strategi Moden Pencegahan Moden dan Ekspo Teknologi’ di Bandar Hilir di sini Sabtu.

Turut hadir Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Datuk Zainal Abidin Kasim dan Ketua Polis Melaka Datuk Ramli Din.

Mengulas lanjut, Noor Rashid berkata PDRM merancang untuk melaksanakan proses pencegahan jenayah menerusi ‘pengawasan komuniti’ yang lebih efektif dengan menggabungkan kepakaran anggota PDRM, pendidik dan pemimpin masyarakat.

“Tahun hadapan kita akan berusaha lebih keras dengan kerjasama masyarakat untuk mencapai matlamat menurunkan kadar indeks jenayah sebanyak lima peratus tetapi ini hanya akan berjaya dengan kerjasama daripada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga akan memberi tumpuan khusus pada kadar penyelesaian kes jenayah yang dilaporkan agar ia dapat diselesaikan dengan segera dan mereka yang melakukan jenayah ditahan dan didakwa di mahkamah.

Dalam pada itu, katanya kerjasama antara PDRM di peringkat Bukit Aman sentiasa bekerjasama dengan PDRM Melaka untuk melaksanakan pelbagai inisiatif memantau aktiviti jenayah di Melaka yang terkenal sebagai negeri pelancongan.

“Di samping anggota PDRM di Melaka yang menjalankan tugas pencegahan jenayah, ada bantuan anggota dari cawangan dan jabatan PDRM dari luar Melaka terutama Bukit Aman khasnya pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum.

“Kita membantu daripada segi rondaan kawasan menggunakan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan kita juga menggunakan unit berkuda serta Pasukan Gerakan Am (PGA) untuk mencegah jenayah di bandar Melaka,” katanya.

— BERNAMA



IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast