Jamal Md. Yunus

KUALA LUMPUR – Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos menawarkan diri sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) selepas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melepaskan jawatan.

“Jika tidak ada calon lain saya menawarkan diri saya sebagai pengganti beliau (Mohamed Azmin),” ujarnya dalam satu kenyataan pendek hari ini.

Presiden Gerakan NGO Malaysia yang kontroversi itu menawarkan diri kerana mahu membantu FAS menaikkan kembali prestasi bola sepak Selangor yang suatu masa dahulu membanggakan.

Semalam, dalam satu kenyataan bersama-sama bekas pengurus skuad Liga Super Selangor Amirudin Shari, Mohamed Azmin mendakwa bahawa exco FAS sedia ada masih mengekalkan sikap dan budaya lama iaitu ‘politik berlebih-lebihan, melakukan kerja dengan cara lama dan amat bergantung kepada mentaliti subsidi’.

“Malah, sehingga kini, barisan Exco FAS gagal mengemukakan pelan strategik untuk pengurusan bola sepak negeri Selangor termasuk organisasi pentadbiran profesional sebagaimana yang disarankan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menjelang (penswastaan sepenuhnya Liga Malaysia) pada 2018.

“Exco FAS terus bergelumang dengan budaya politik yang tidak bertanggungjawab serta mengecewakan penyokong dan rakyat negeri Selangor,” jelas Mohamed Azmin.–MalaysiaGazette