Lima batang sungai telah melepasi paras normal akibat taburan hujan yang terlalu lebat.

KUALA TERENGGANU – Hujan lebat berterusan yang melanda beberapa daerah di Terengganu menyebabkan beberapa kawasan rendah mula dinaiki air sejak awal pagi tadi.

Menurut laman web rasmi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu di publicinfobanjir.water.gov.my, lima batang sungai telah melepasi paras normal akibat taburan hujan yang terlalu lebat.

Sungai-sungai itu ialah Sungai Telemong di Kuala Ping dekat Hulu Terengganu yang mencatat paras bahaya 20.36 meter berbanding paras normal 16.5 meter.

Dua lagi sungai ialah di Setiu iaitu Sungai Chalok yang naik setinggi 7.7 meter berbanding paras normal 5 meter dan Sungai Nerus di Kampung Langkap pada paras 20.06 meter berbanding paras normal 17 meter.

Sungai Besut di Kampung La pula naik pada paras 19.82 meter berbanding paras normal 16.5 meter dan Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan yang naik pada aras 2.07 meter berbanding paras normal satu meter.

Para penduduk di kawasan terjejas di di sekitar Hulu Terengganu dilapor dalam proses berpindah ke pusat pemindahan yang disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

— BERNAMA