GEORGE TOWN – Kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan DAP amat mengharapkan kerjasama ketua pembangkang negeri Datuk Jahara Hamid daripada Barisan Nasional (BN) untuk menyelesaikan isu perumahan di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Perancangan Bandar dan Desa negeri Jagdeep Singh Deo berkata persetujuan tidak rasmi bagi tujuan itu telah dicapai pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang yang lepas.
Menurutnya, usul bersama bagi mengesa kerajaan persekutuan untuk mengkaji semula penolakan pinjaman rumah mampu milik itu telah dipersetujui oleh Jahara dan juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Pulau Betong Datuk Farid Saad pada persidangan DUN lepas.
“Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) telah menghantar draf usul bersama kepada Jahara dua hari lepas, bagi mendapatkan persetujuan secara rasmi sebelum usul itu diserahkan kepada kerajaan pusat,” katanya kepada pemberita di sini, pada Jumaat.
Katanya, usul bersama itu akan meliputi pemintaan kepada kerajaan persekutuan dan Bank Negara untuk mengkaji semula penolakan permohonan pinjaman bagi rumah mampu milik dan juga isu pemilik rumah mampu milik menyewakan unit mereka kepada warga asing.
Tambahnya, oleh kerana perkara itu melibatkan undang-undang persekutuan, maka ia hanya boleh diselesaikan dengan pembabitan kerajaan persekutuan.
Pada 15 Dis lepas, Jagdeep telah mengumumkan kerjasama tersebut namun usahasama itu telah dinafikan oleh Jahara kerana perkara itu masih belum mendapat persetujuan rasmi.
Terdahulu, Jagdeep telah mengumumkan tiga kawasan perumahan awam telah diberikan hakmilik strata iaitu Perumahan Taman Tun Sardon Peralihan, Taman Tun Sardon Fasa III dan Taman Perumahan Awan Batu Lanchang.
Katanya, sejumlah lebih kurang 595 unit rumah di tiga kawasan perumahan berkenaan akan menerima hakmilik strata tersebut dan pemilik rumah perlu menghubungi Jabatan Perumahan Negeri untuk membuat proses pindah milik.
“Karajaan negeri akan terus berusaha untuk mengeluarkan hakmilik strata kepada baki projek perumahan awam yang masih belum memilikinya dan keutamaan akan diberikan kepada pemprosesasan hakmilik strata untuk program-program perumahan awam oleh kerajaan negeri,” katanya.
— BERNAMA