PUTRAJAYA – Siasatan awal Institut Keselamatan Jalan Raya (Miros) mendapati kemalangan bas di Pagoh, Johor yang meragut 14 nyawa dan mencederakan 16 yang lain adalah berpunca daripada pemandu yang mengantuk.
Ketua Pengarahnya, Wong Shaw Woon berkata, bukti di tempat kemalangan termasuk kesan tayar di permukaan jalan dan kawasan rumput mendapati bahawa pemandu bas tidak menekan brek untuk sebahagian jalan tetapi cuba menghentikan kenderaan itu apabila menghampiri gaung.
“Pemeriksaan mendapati ada kesan yang menunjukkan bas tersasar di mana ia keluar dan masuk di kawasan rumput di tepi jalan, tetapi pemandu tidak menekan brek.
“Ia menunjukkan pemandu dalam keadaan yang tidak menumpu perhatian,” katanya kepada China Press.
Menurut Shaw Woon, siasatan awal juga menunjukkan bas tersebut memecut melebihi 110 kilometer sejam berbanding had laju 90 kilometer sejam yang dibenarkan.
Jelasnya, penemuan dalam siasatan awal bagaimanapun perlu disahkan melalui analisis dan siasatan yang lebih teliti. — MalaysiaGazette