KUALA LUMPUR_ Perkhidmatan tren Intercity di Pantai Timur masih mengalami gangguan disebabkan kejadian banjir dan tanah runtuh yang berlaku di km392.5 antara Bukit Abu – Dabong, Kuala Krai.
Semua perkhidmatan tren di antara laluan Dabong – Kuala Krai – Dabong masih lagi digantung sehingga dimaklumkan kemudian, kata Keretapi Tanah Melayu Berhad dalam satu kenyataan hari ini.
Bagi perkhidmatan Ekspres Timuran no. 26 (JB Sentral – Tumpat) perkhidmatan tren hanya disediakan hingga di Stesen Gua Musang dan para penumpang akan meneruskan perjalanan dari Stesen Gua Musang ke Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Mas, Wakaf Bharu dan Tumpat menggunakan bas yang disediakan oleh pihak KTMB. Bagi penumpang ke Stesen Dabong, mereka akan menggunakan tren tempatan.
Bagi perkhidmatan Ekspres Timuran no. 27 (Tumpat – JB Sentral), para penumpang akan menaiki tren dari Stesen Tumpat ke Stesen Kuala Krai dan menaiki bas menuju ke Stesen Gua Musang.
Di Gua Musang mereka akan meneruskan perjalanan ke Stesen JB Sentral menggunakan tren.
Kelewatan tren dijangka melebihi dua jam. Para penumpang boleh membuat pemulangan tambang atau menukar semula tarikh perjalanan.
Kerja-kerja membaikpulih landasan sedang giat dijalankan.
KTM Berhad memohon maaf di atas segala kesulitan yang dihadapi. Untuk maklumat lanjut sila hubungi pusat panggilan KTMB di talian 03 22671200
Atau layari laman sesawang kami di www.ktmb.com.my.–MalaysiaGazette