KLANG – Seorang anggota keluarga mangsa letupan bunga api di sini semasa sambutan ambang tahun baharu ingin tahu punca yang menyebabkan bunga api itu meletup dan mencederakan tiga anggota keluarganya.

“Kami enam sekeluarga berada di antara barisan hadapan pengunjung tetapi masih di belakang garisan keselamatan yang dipasang penganjur bila bunga api itu meletup lalu menuju ke arah kami dan orang lain,” kata Mohamad Rafiq Ahmad Tarmizi, 19.

Beliau berkata kejadian itu menyebabkan adiknya Nur Qaseh, 8, terkena percikan api, nenek saudaranya Hanizah Abd Rashid, 48, cedera di kepala dan ibu saudaranya Diana Talaha, 31, melecur di tangan dan paha.

Ketiga-tiga mereka kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah.

Seramai 14 orang termasuk kanak-kanak dilapor cedera dalam kejadian itu di padang Kompleks Sukan Pandamaran.

Mohamad Rafiq berkata setakat ini keluarganya belum memikirkan untuk mengambil tindakan undang-undang kepada pihak penganjur majlis sambutan itu.

“Pihak penganjur memberi kerjasama yang baik kepada kami sewaktu di hospital, bagaimanapun kami masih ingin tahu apakah punca bunga api itu meletup di tanah dan menuju ke arah kami,” katanya.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast