Pengurus Manchester City, Pep Guardiola berkata dia sedang dalam proses mengucapkan selamat tinggal kepada dunia kejurulatihan bola sepak.

Pengurus Manchester City atau Super Bos Bola Sepak Dunia, Pep Guardiola mengejutkan dunia sukan dengan memberi gambaran beliau akan bersara tidak lama lagi.

Bekas Pengurus Barcelona dan Bayern Munich itu juga mendakwa Stadium Etihad akan menjadi gelanggang terakhir karier bola sepak dan tidak akan aktif apabila menjangkau usia 60 tahun.

Pengurus pasukan bola sepak yang pernah menjulang lebih 21 piala dalam tempoh tujuh tahun bersama dua kelab berbeza dikatakan sudah mulai bersedia membuat persiapan untuk penghujung karier kejurulatihannya.

Guardiola yang baru enam bulan bersama Manchester City juga mengesahkan beliau tidak menjangka untuk mengambil tugas bersama kelab lain selepas ini dan mahu mengucapkan ‘selamat tinggal’ pada kali ini.

Terdahulu, Guardiola menyaksikan pasukannya menewaskan Burnley 2-1 dalam aksi semalam dengan 10 pemain setelah pemain tengahnya Fernandinho dilayangkan kad merah buat kali ketiga dalam enam perlawanan.

Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan malam tadi, pengurus kelahiran Sepanyol itu mengaku dia masih bergelut untuk memahami peraturan bola sepak di England.

Beliau mengaku tidak dapat mengawal perasaan marah terhadap pengadil perlawanan, Lee Mason.

“Saya akan berada di Manchester untuk tiga musim lagi, mungkin lebih, tetapi saya sedang menghampiri ambang akhir karier kejurulatihan dan saya sangat pasti dengan itu.

“Saya tidak akan terlibat dalam kejurulatihan sehingga berusia 60 atau 65 tahun. Sebab saya rasa proses ‘selamat tinggal’ sudah pun bermula.

“Man City mungkin salah satu pasukan terakhir saya, keputusan telah  dibuat,” katanya.

Guardiola jelas tidak gembira dengan keputusan pengadil dan merasakan gol tunggal Burnley sekadar sagu hati dan tidak boleh menyalahkan penjaga gol Claudio Bravo.

The Citizens berjaya membuka jaringan menerusi Gael Clichy dan Sergio Aguero di separuh masa kedua untuk mengesahkan tiga mata penuh sebelum melonjak ke tangga ketiga buat sementara waktu.

Ditanya mengenai keputusan kad merah terhadap Fernandinho, Guardiola berkata;

“Kamu jangan tanya saya, tanyalah pengadil, saya bukan wartawan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast