DATUK SERI LIOW TIONG LAI
BENTONG – Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata beliau tidak menghalang jika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) “masuk” untuk menyiasat dakwaan salah laku rasuah di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) di seluruh negara.

Katanya dakwaan itu adalah serius dan perlu disiasat bagi mengelakkan mana-mana pihak menuding jari kepada agensi di bawah kementeriannya seperti Puspakom dan Jabatan Pengangkutan Jalan apabila berlaku kemalangan yang meragut banyak nyawa.

“Saya bersetuju SPRM perlu masuk untuk pastikan tiada isu rasuah dalam kalangan anggota dan pegawai Puspakom… tetapi saya rasa Puspakom sendiri telah melaksanakan banyak usaha untuk mengurangkan salah laku rasuah di pusat berkenaan,” katanya dalam laporan BERNAMA hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebagai mengulas dakwaan bahawa berlaku salah laku rasuah dalam kalangan kakitangan Puspakom, khususnya berhubung pemeriksaan kenderaan perdagangan dan teksi.

Liow yang juga Anggota Parlimen Bentong sebelum itu melawat Hospital Bentong serta projek jambatan dan tebatan banjir Sungai Kertau di Felda Lurah Bilut di sini.

Sebuah akhbar hari ini menyiarkan sepucuk surat pembaca yang mendakwa seseorang perlu membayar caj tambahan sebanyak 50 peratus jika mahu memastikan kenderaan perdagangan dan teksi dijamin lulus pemeriksaan Puspakom, dan perkara itu diketahui ramai.

Mengulas lanjut, Liow berkata di pihak kementerian sendiri dua unit khas telah ditubuhkan untuk membanteras rasuah secara agresif dan lebih menyeluruh iaitu Unit Integriti dan Unit Audit Dalaman.

“Menerusi unit ini kita akan dapat kenal pasti isu lebih awal dan ambil tindakan yang lebih cepat. Isu integriti contohnya, jika ada kemusykilan melibatkan soal bekalan boleh terus lapor terus kepada saya atau Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Paul Low Seng Kuan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Liow berkata projek jambatan dan tebatan banjir Sungai Kertau di Felda Lurah Bilut yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran negeri berjaya mengatasi masalah banjir kilat yang berlaku di kawasan itu setiap kali hujan lebat dan musim tengkujuh.

“Sebelum ini setiap kali hujan, penduduk Felda Lurah Bilut sering terputus hubungan apabila jambatan utama yang menghubungkan kawasan ini dengan Bentong dinaiki air.

“Sejak kerajaan melaksanakan projek ini pada November tahun lepas, ia berjaya mengatasi masalah tersebut dan projek dijangka siap sepenuhnya pada akhir bulan ini,” kata Liow.

Menurutnya projek itu melibatkan kos RM400,000 dengan tambahan RM200,000 lagi bagi kerja-kerja memperkukuh dan memperindah tebing sungai sepanjang dua kilometer itu. – MalaysiaGazette



IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast