Empangan Pergau

KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menafikan dakwaan berlakunya limpahan air dari takungan Empangan Pergau, di Kelantan seperti yang viral di media sosial.

Laporan BERNAMA semalam memetik Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Roslan Ab Rahman sebagai berkata, meskipun berlakunya peningkatan paras air di empangan itu, ianya masih belum mencapai tahap melimpah.

“Sehingga jam 3 petang tadi, air yang dikeluarkan untuk tujuan penjanaan kuasa adalah terkawal,” katanya dalam satu kenyataan, di sini Selasa.

Roslan berkata, Empangan Pergau tiada sebarang kaitan dengan Empangan Sukirin di Narathiwat, Thailand seperti yang ditularkan dan beliau menasihati orang ramai supaya memastikan kesahihan berita sebelum dikongsikan.

Dalam pada itu, TNB Kelantan dalam kenyataannya turut menafikan dakwaan bahawa air di Empangan Pergau itu akan dilepaskan malam ini yang dikatakan akan menyebabkan banyak kawasan dilanda banjir.

Pengurus Besarnya, Datuk Md Yuslan Md Yusof berkata pelepasan air dalam kuantiti besar secara sekali gus tidak mungkin berlaku kerana empangan mempunyai sistemnya tersendiri iaitu ‘alur limpah’ yang bertindak menyalurkan air keluar secara semulajadi dalam kuantiti yang sedikit jika berlaku lebihan muatan.

“Empangan Pergau mampu menampung kapasiti 636 meter air dan ketika ini paras air berada pada bacaan 633 meter. Walaupun angka tersebut nampak tidak jauh beza tetapi ia mempunyai perbezaan yang besar kerana saiz empangan yang besar.

“Ketika banjir besar pada tahun 2014 paras air di empangan berada pada paras 635 meter dan kita jangkakan tahun ini jumlah air tidak akan mengatasi rekod tahun 2014,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya kesal atas tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menularkan dakwaan itu di laman sosial sehingga telah menimbulkan panik kepada orang ramai dan berharap penyebarannya segera dihentikan.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast