Khairul Hadi Burhan menujukkan barangan yang dibeli oleh beliau dari sebuah kedai 24 jam tanpa mengambil beg plastik ketika tinjauan mengenai kempen #BebasPlastik yang dikuatkuasakan kerajaan negeri Selangor bermula 1 Januari 2017 di seluruh negeri Selangor di Seksyen 14 Petaling Jaya, Selangor. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 03 JANUARI 2017.

Konsep larangan kerajaan negeri Selangor tidak membenarkan penggunaan plastik di pusat beli-belah memang baik kerana faktor alam sekitar namun pelaksanaannya dilihat secara tiba-tiba.

Rata-ratanya bersetuju sekiranya budaya mesra plastik itu diubah namun ada juga mempertikaikan ada pihak yang mengaut untung atas penjualan plastik berharga 20 sen itu.

Larangan beg plastik di Selangor berkuatkuasa sejak 1 Januari 2017 lalu mendapat pelbagai reaksi berbeza daripada pengguna.

Seorang peniaga Baby Cheff Food Delivery dari Bangsar, Khairul Hadi Burhan, 33, berkata, peraturan itu ada pro dan kontranya.

“Ia mempunyai pro dan kontra bagi peniaga ia boleh menguntungkan kerana dia caj 20 sen untuk plastik sekiranya diminta pengguna tegar, manakala sudut lain ia juga menjimatkan kos pengeluaran beg plastik untuk peniaga tertentu.

“Cuma bagi orang ramai yang sudah mesra plastik, agak sukar dan mesti cepat melatah dengan pelaksanaan ini tetapi mereka gagal memikirkan kesan jangka panjang penggunaannya.

“Mungkin mereka perlu membawa beg kertas atau beg kain sendiri ketika ke mana-mana pasaraya atau pusat membeli belah, namun implementasi sepenuhnya tetap akan mengambil masa panjang,” katanya kepada Malaysia Gazette baru-baru ini.

Bagi seorang pelajar kolej,  Zaleha Bujang, 35, beliau terkejut larangan itu dikuatkuasakan tanpa dijangka atau sebarang pemberitahuan awal supaya pengguna dapat bersiap sedia.

“Cuma, dalam kes tertentu larangan plastik perlu dipastikan efektif tanpa menyusahkan pengguna kerana ramai pasti akan merungut ketika ini dengan alasan pengagihan barang sensitif seperti sabun, cecair pencuci dan makanan semasa beli belah,” jelasnya.

Bagi seorang pesara yang hanya mahu dikenali sebagai Madam Tan pula berpendapat, sekiranya plastik dapat diuruskan dengan teratur maka ia tidak mencetuskan masalah kepada pengguna dan alam sekitar.

“Rakyat leka kesedaran sivik lebih suka membuang sampah plastik dan polisterena merata-rata walaupun tong sampah disediakan.

“Maka tiada hairan jika kerajaan tampil dengan larangan seumpama, kalau kamu seorang mempunyai kesedaran sivik, perlu tahu tanggungjawabnya terhadap alam sekitar,” tegasnya.

 

Sementara itu, seorang jurutera, Faizal Abdul Ghani, 48, pula berpendapat, larangan penggunaan plastik satu langkah terbaik untuk mendidik rakyat menjaga alam sekitar.

“Di negara-negara Eropah sudah lama dipraktikkan, kita baru nak mulakan. satu permulaan terbaik dan bagus dalam menyelamatkan bumi kita daripada tercemar akibat penggunaan plastik secara tidak terurus.

“Tiada alasan kononnya susah hendak bawa barang dan sebagainya, bawa beg biodegradasi (boleh urai) sendiri, atau beg kertas sendiri, ini akan mencegah penggunaan beg plastik.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast