KUALA LUMPUR – Syarikat bas ekspres Alisan Golden Coach akan dikenakan tindakan selepas didapati melanggar beberapa peraturan sehingga berlakunya kemalangan di Lebuh Raya Utara Selatan berdekatan Pagoh, Johor pada bulan lalu.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, syarikat terbabit akan didakwa selepas didapati tidak menyediakan pemandu bas kedua bagi perjalanan melebihi empat jam.
“Syarikat bas sepatutnya menyediakan dua pemandu dan mereka telah melanggar undang-undang..
“Mereka turut membenarkan seorang pemandu memandu melebihi lapan jam.
“Tempoh bekerja untuk seorang pemandu adalah terlalu lama dan tindakan tegas perlu diambil,” katanya.
Tiong Lai berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis Kempen Keselamatan Kawasaki di Plaza Tol Sungai Besi Arah Selatan di sini hari ini.
Pada 24 Disember lalu, Alisan Golden Coach terlibat dalam kemalangan di kilometer 137.4 Lebuh Raya Utara Selatan pada awal pagi yang mengakibatkan 14 orang maut dan 16 penumpang cedera.- MalaysiaGazette