PAUL LOW
PETALING JAYA – Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana, Datuk Michael Kang tidak akan menghadiri majlis dialog mengenai pelaksanaan Komitmen Mandatori Majikan (EMC) yang antaranya mewajibkan pengusaha menanggung bayaran levi pekerja asing.

Michael berkata, pihaknya tidak berminat dengan sebarang penjelasan melainkan kerajaan bersedia untuk mengkaji semula dasar yang berkuat kuasa 1 Januari itu.

Michael juga membidas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low kerana tidak melakukan perundingan dengan pengusaha mengenai dasar tersebut.

Menurutnya, Paul telah memberi mesej yang silap kepada Kabinet sehingga kerajaan beranggapan pengusaha menerima dasar EMC.

Katanya, Paul sekadar mengadakan taklimat ringkas mengenai EMC bersama beberapa persatuan perniagaan.

Michael juga kecewa kerana Paul tidak menyampaikan mesej persatuan perniagaan kepada Kabinet.

“Beliau tidak meneliti perkara ini bersama kami, tetapi sekadar mengadakan taklimat dengan persatuan tertentu.

“Kami sendiri tidak dijemput tetapi mengetahuinya daripada persatuan lain,” katanya kepada Sinchew Daily.

Kata Michael, memorandum mengenai pekerja asing yang dihantar kepada Paul juga tidak dipanjangkan oleh menteri itu kepada Kabinet.

Katanya, keadaan itu menyebabkan Jemaah Menteri beranggapan bahawa pengusaha bersetuju dengan cadangan mengenai EMC.

Jelasnya, pihak persatuan pernah membangkitkan isu itu dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang sebelum ini turut beranggapan Paul telah mengadakan perbincangan dengan pengusaha.

Dalam pada itu, Paul yang dihubungi Sinchew Daily berkata, kerajaan tidak bercadang untuk mengkaji semula pelaksanaan EMC tetapi akan menjelaskan polisi itu kepada pengusaha.

“Saya tahu banyak aduan daripada pengusaha. Kenapa kami nak kaji semula? Ini adalah dasar kerajaan,” katanya. — MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast