Najib, yang juga Menteri Kewangan, ketika menyampaikan mesej mengenai tahun penyampaian itu turut mengingatkan anggota perkhidmatan awam berkenaan ketirisan dan jangan mengambil hak rakyat.
PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu perkhidmatan awam memfokuskan 2017 sebagai tahun penyampaian untuk kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

Beliau berkata ini bermakna warga perkhidmatan awam mesti melaksanakan projek, program, perkhidmatan dan langkah-langkah yang telah ditentukan untuk rakyat dan negara.

“Ini mesti kita jadikan sebagai bidang keutamaan kita. Fokus kita tahun ini – delivery, delivery and delivery (penyampaian, penyampaian dan penyampaian).

“Kalau kita ingatkan perkara itu, maka masing-masing akan memainkan peranan. Yang jaga projek, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), keselamatan, banjir main peranan,” katanya dalam perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri yang pertama untuk tahun ini di sini hari ini.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, ketika menyampaikan mesej mengenai tahun penyampaian itu turut mengingatkan anggota perkhidmatan awam berkenaan ketirisan dan jangan mengambil hak rakyat.

“Jangan ambil hak rakyat, itu rakyat punya. Sebab apa, kita buat peruntukan, program dan bajet sediakan segala-galanya untuk rakyat. Kalau ada ketirisan, rakyat hampa dan hilang keyakinan,” katanya.

Najib turut berharap perkhidmatan awam ketika memberi fokus kepada penyampaian bukan hanya dari segi fizikal, tetapi penyampaian dari segi nilai kepada rakyat.

“Perkhidmatan yang disediakan untuk rakyat perlu mengikut jadual, dan sekiranya ia lambat atau ada kekangan, halangan, masalah atau koordinasi, ia perlu diselesaikan dengan segera,” katanya.

“Janganlah kita dalam silo masing-masing, mengatakan itu hak kita, orang lain jangan campur hak kita. Kalau kita ada sikap seperti ini, kita akan hadapi masalah birokrasi yang keterlaluan.

“Jadikanlah tahun 2017 sebagai ‘year of delivery’ (tahun penyampaian), fokus kepada penyampaian perkhidmatan usaha, latihan, penambahan nilai dan segala-galanya untuk kebajikan rakyat,” katanya.

Perdana menteri berkata sekiranya ‘mindset’ (set minda) warga perkhidmatan awam memberi fokus pada penyampaian, ia akan jadikan 2017 sebagai tahun yang berjaya.

— BERNAMA



IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette 2
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast