Suasa Airlines milik Suasa Airlines Sdn. Bhd

SEPANG- Suasa Airlines Sdn. Bhd. (Suasa Airlines) didenda sebanyak RM380,000 selepas mengaku salah di Mahkamah Sesyen Sepang di sini hari ini bagi kesalahan beroperasi tanpa Permit Perkhidmatan Udara (ASP) yang sah.

Syarikat penerbangan itu mengaku salah (untuk kesalahan di bawah seksyen 36 Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 [Akta 771]) kerana membawa penumpang untuk sewa atau upah dalam perjalanan tidak berjadual di antara Kuala Lumpur dan Langkawi tanpa ASP yang sah.

Perkara-perkara berkaitan pengeluaran, penggantungan dan pembatalan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) dan ASP adalah di bawah bidang kuasa Mavcom sejak penubuhannya pada 1 Mac 2016.

Syarikat-syarikat penerbangan yang tidak mempunyai ASL atau ASP yang sah, tidak dibenarkan untuk membuat sebarang operasi perkhidmatan udara komersial di Malaysia.

Dalam kenyataan hari ini, Mavcom berkata, bagi membolehkan suatu entiti menjalankan operasi sebagai syarikat penerbangan komersial, organisasi tersebut perlu mempunyai kedua- dua ASL atau ASP yang dikeluarkan oleh Mavcom dan Perakuan Pengendali Udara (AOC) yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerbangan Awam Malaysia.

Pada 22 Julai 2016, Mavcom telah menolak permohonan Suasa Airlines untuk mengendalikan suatu penerbangan komersial tidak berjadual dari Kuala Lumpur ke Langkawi kerana syarikat penerbangan tersebut tidak memiliki ASP yang sah.

Namun begitu, pada hari yang sama, Suasa Airlines masih mengendalikan penerbangan tersebut sebagai “penerbangan demonstrasi”.

Berikutan itu, Suruhanjaya kemudiannya menjalankan suatu siasatan menyeluruh yang seterusnya dibawa kepada pihak Jabatan Peguam Negara.

Kes ini dikendalikan oleh Mohamad Abazafree Mohd Abbas, Ketua Unit Jenayah Am dan Ketenteraman Awam bersama Afzainizam Abdul Aziz.

“Mavcom mahu menekankan kepentingan mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan yang merupakan keperluan asas untuk penyertaan dalam industri ini.

“Syarikat-syarikat penerbangan hendaklah mempunyai semua kelulusan daripada pihak berkuasa sebelum beroperasi, seperti mana yang dikehendaki bukan sahaja oleh undang-undang Malaysia tetapi juga menurut taraf dan amalan-amalan antarabangsa.

“Langkah-langkah ketat yang diambil oleh suruhanjaya adalah untuk melindungi pengguna dan oleh itu, suruhanjaya tegas dalam pendiriannya dan akan mengambil tindakan terhadap pesalah-pesalah yang tidak mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan industri ini,” kata Tan Sri Abdullah Ahmad, Pengerusi Eksekutif, Mavcom. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast