Aiman Tino bergambar pada sidang media di Istana Budaya, Kuala Lumpur. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 10 Januari 2017.

KUALA LUMPUR – Penyanyi muda yang makin popular, Aiman Tino akan membuat kejutan ketika muncul dalam Konsert Gegar Pop Yeh Yeh yang bakal berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) pada 3 hingga 5 Mac ini.

Aiman, 18, tahun berkata, dia bersedia menonjolkan sisi lainnya apabila akan menari selepas dibayangi dengan lagu-lagu popularnya yang mendayu-dayu seperti Ku Rela Di Benci dan terbaharu, Permata Cinta.

Dia turut terharu kerana diberi kepercayaan untuk terlibat menjayakan siri konsert yang menampilkan legenda-legenda irama 60an itu.

“Rugi kalau saya tolak tawaran ini. Saya juga mahu membuktikan kepada peminat yang saya bukan hanya boleh menyanyi lagu-lagu jiwang dan pemalu orangnya.

“Untuk menari nanti tiada masalah kerana kakak saya juga seorang penari dan dia akan memberi tunjuk ajar nanti.

“Namun saya akan memberi fokus kepada Konsert Gegar Pop Yeh Yeh ini selepas Anugerah Juara Lagi 31 (AJL31) pada 22 Januari ini,” katanya.

Aiman ditemui pada sidang media konsert itu kelmarin yang turut dihadiri Ketua Pengarah IB, Datuk Mohamed Juhari Shaarani.

Barisan penyanyi yang bakal menjayakan Konsert Fiesta Pop Yeh Yeh dari kiri, Aiman Tino, J. Sham, Datuk Jaffrydin, Maria Bachok, Datuk A. Rahman Hassan, L. Ramlee dan A. Rozaidi bergambar pada sidang media di Istana Budaya, Kuala Lumpur. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR, 10 Januari 2017.
Barisan penyanyi yang bakal menjayakan Konsert Fiesta Pop Yeh Yeh dari kiri, Aiman Tino, J. Sham, Datuk Jaffrydin, Maria Bachok, Datuk A. Rahman Hassan, L. Ramlee dan A. Rozaini bergambar pada sidang media di Istana Budaya, Kuala Lumpur. foto ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR.

Turut hadir, penyanyi terkenal era 60-an yang akan muncul pada konsert itu seperti Datuk A. Rahman Hassan, Datuk L. Ramlie, Datuk Jeffrydin, J. Sham, Maria Bachok selain A.Rozaini.

Sementara itu, Mohamed Juhari berkata, penganjuran konsert itu diadakan bertujuan untuk membangkitkan nostalgia kegemilangan irama pop yeh yeh di kalangan penggemar irama itu selain mendedahkan kepada generasi muda tentang kemahsyuran lagu-lagu di era 60-an suatu ketika dahulu.

“Namun kelainannya kali ini apabila penyanyi muda iaitu Aiman Tino akan turut berkongsi pentas menyampaikan beberapa rangkaian lagu dalam usaha menarik generasi muda untuk lebih mengenali lagu-lagu irama Pop Yeh Yeh,” katanya.

Dalam pada itu katanya, konsert berdurasi selama dua jam ini akan diiringi oleh pemuzik-pemuzik daripada Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) Istana Budaya yang diberi nama Agogo Istamuzika.

Menerusi konsert ini juga, setiap penyanyi dikehendaki untuk menyanyikan sekurang-kurangnya tiga buah lagu secara solo selain beberapa lagu duet dalam pembahagian segmen yang akan dimaklumkan pada sesi sidang media kedua nanti.

Konsert kerjasama Istana Budaya dan CTRA Production ini akan berlangsung selama tiga hari bermula pukul 8.30 malam.

Tiket dijual dengan harga RM50, RM80, RM150 dan RM180.

Untuk tempahan tiket boleh layari laman web ww.airasiaredtix.com atau terus ke laman Facebook: ctraproduction. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast