Home Nasional 832 penerima darjah kebesaran, bintang, pingat N. Sembilan

832 penerima darjah kebesaran, bintang, pingat N. Sembilan

KUALA PILAH – Pakar Perunding Kanan Perubatan Hospital Tuanku Jaafar di Seremban Datuk Dr. K. Sree Raman mendahului senarai 832 penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat negeri sempena ulang tahun ke-69 keputeraan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir hari ini.

Beliau merupakan penerima tunggal Darjah Seri Setia Tuanku Muhriz Yang Amat Terbilang (SSTM) yang membawa gelaran ‘Datuk Seri’.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Mat Ali Hassan pula adalah antara empat penerima Darjah Seri Setia Negeri Sembilan Yang Amat Cemerlang (SSNS) yang turut membawa gelaran ‘Datuk Seri’.

Tiga yang lain ialah bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Azhar Maah, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mohd Hishamudin Md Yunus dan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi Abdul Rahman Mohd Redza, ADUN Gemencheh Mohd Isam Mohd Isa dan Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Jaafar Mohd Yusof adalah antara lapan penerima Darjah Datuk Paduka Negeri Sembilan (DPNS) yang membawa gelaran ‘Datuk’.

Isteri Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil Rakyat dan Pegawai-Pegawai Kanan Negeri Sembilan (PEKERTI) Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin serta Pakar Runding Anestesiologi dan Rawatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Dr Wan Rahiza Wan Mat merupakan dua penerima Darjah Setia Tuanku Muhriz Yang Amat Gemilang (DSTM) yang membawa gelaran ‘Datuk’.

Seramai 31 individu pula dikurniakan Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (DBNS) yang membawa gelaran ‘Datuk’.

Antara penerimanya ialah Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Sembilan Abdul Karim Mohd Tahir, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan Dr Abdul Rahim Abdullah, Pengerusi Parti Gerakan Rakyat Negeri Sembilan Choong Vee Hing, Pengerusi MIC Bahagian Rasah G.M. Kannan, Panglima 1 Briged Kem Rasah Brig Jen

Datuk Mohd Sofi Md Lepi dan Presiden Persatuan Ceylonese Negeri Sembilan S. Kumarasamy.

Sebanyak 40 individu menerima Darjah Setia Negeri Sembilan (DNS) termasuk Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Sembilan Hasnan Iberahim, bekas ADUN Lenggeng Mustafa Salim, Pengarah Pusat Olah Perang Tentera Darat Kem Syed Sirajuddin, Gemas Kolonel Jamaluddin Ahamad dan Pengurus Besar Hotel Royale Bintang Seremban Mashor Din.

Selain itu, lapan individu menerima pingat Darjah Tuanku Muhriz (DTM), 17 dianugerahkan Darjah Pekerti Terpilih (DPT), 98 menerima Ahli Setia Negeri Sembilan (ANS), dua menerima Setiawan Tuanku Muhriz (STM), 223 menerima Pingat Khidmat Cemerlang Masyarakat (PMC), 366 menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK), 18 menerima Pingat Khidmat Lama (PKL) dan 14 dianugerahkan Bentara Tuanku Muhriz (BTM).

Sambutan hari keputeraan baginda ditangguhkan pada Khamis depan (19 Jan).

Rabu lepas, Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, penangguhan sambutan hari keputeraan Tuanku Muhriz adalah mengambil kira kemangkatan anakanda baginda, Tunku Alif Hussein Saifuddin Al-Amin pada 15 Januari tahun lepas.

Secara rasminya, hari keputeraan Tuanku Muhriz ialah pada 14 Januari dan merupakan cuti umum Negeri Sembilan namun disebabkan penangguhan itu, tiada acara diadakan hari ini. – MalaysiaGazette