KOTA TINGGI – Tun Dr. Mahathir Mohamad mungkin terlupa bahawa beliau pernah melabelkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebelum ini sebagai satu bentuk rasuah dan haram.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kali ini, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kini berhasrat pula mengekalkan bantuan itu jika parti campuran pembangkang memenangi pilihan raya umum akan datang.
“Beliau (Mahathir) pun nak buat BR1M? Mungkin beliau telah lupa pernah kata BR1M itu rasuah.
“Tiba-tiba beliau juga nak buat BR1M. Itu saya cakap kenyataan Dr. Mahathir akhir-akhir ini agak mengarut. Hari cakap, esok beliau lupa, lepas itu ulang balik.
“Dalam isu BR1M ini, hanya Azmin (Timbalan Presiden PKR dan Menteri Besar Selangor) sahaja yang bersetuju.
“Wan Azizah dan pemimpin lain sentiasa berbalah dalam isu BR1M,” katanya.
Ismail Sabri mengulas mengenai ucapan Mahathir yang mahu mengekalkan BR1M sekiranya parti campuran pembangkang memenangi PRU akan datang.
Bekas Perdana Menteri itu dilaporkan mengeluarkan kenyataan itu ketika berucap pada Majlis Pelancaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Stadium Malawati, Shah Alam, semalam.
Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar & Wilayah
berkata demikian pada sidang media majlis perasmian dan penyerahan kunci rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin Taman Sinar Sedili di Kampung Tanah Putih, Tanjung Sedili sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad.
Pada majlis itu, KKLW telah berjaya menyiapkan sebanyak 100 unit Projek Perumahan Rakyat Termiskin bernilai RM15.95 juta dan diberikan percuma. – MalaysiaGazette