Shamrahayu Abd. Aziz

KUALA LUMPUR – Usul cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1966 (Akta 355) tidak akan menjadi polemik seperti sekarang sekiranya ia terus dibentangkan untuk perbahasan di Parlimen.

Kata Felo Utama Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik (Syarak) IKIM, Prof. Dr. Shamrahayu Abd. Aziz, berikutan usul itu ditangguhkan walaupun dua kali cadangan itu dibentangkan di Parlimen, menyebabkan pihak tertentu yang tidak bersetuju dengan pindaan akta berkenaan cuba mengelirukan masyarakat.

Jelas beliau, usul berkenaan juga menjadi isu dan polemik disebabkan ia dicadangkan oleh sebuah parti bukan dari kerajaan dan kebetulan pula parti pembangkang lain tidak bersetuju, lalu ia hangat diperkatakan.

Ujar Dr. Shahrahayu, pindaan Akta 355 ini telah pun dicadangkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kira-kira 10 tahun lalu.

“Tetapi kerana kekangan tertentu, menjadikan ia lambat dibawa ke Parlimen. Justeru, Pas membawanya ke Dewan Rakyat dan dibentangkan sebagai usul persendirian pada sesi persidangan Jun tahun lalu.

“Bagaimanapun, usul itu hanya sekadar dibentangkan, tidak dibuka untuk perbahasan dengan alasan tidak cukup masa. Begitu juga pada sidang Parlimen November lalu, usul persendirian itu kali kedua dibentang, namun tiada perbahasan,” katanya pada Taklimat Khas Usul RUU 355 di Dewan Besar IKIM, di sini, hari ini.

Menurut Dr. Shamrahayu, polemik itu ditimbulkan oleh parti politik dan ia menjadi kebiasaan apabila RUU Majlis Keselamatan Negara juga dijadikan isu termasuk Akta Pentadbiran Agama Islam dan Akta Keluarga Islam.

Namun, jelas beliau, semua RUU dan akta itu dapat ditangani dengan baik setelah ia dibahas secara berhemah oleh ahli-ahli politik di Parlimen dan dibuka untuk mendapatkan sokongan.

Beliau yakin Akta 355 atau RUU 355 yang heboh diperkatakan dalam kalangan parti politik itu juga dapat diselesaikan secara bijaksana.

Ini kerana, katanya, pindaan Akta 355 adalah untuk meningkatkan hukuman bagi memperkasakan Mahkamah Syariah dalam pengawalan ketenteraman awam, kesihatan awam atau akhlak masyarakat yang sekarang ini berhadapan dengan gejala sosial yang amat serius.

“Jika pindaan Akta 355 ini diluluskan di Parlimen, ia tidak meningkatkan kadar hukuman secara automatik, sebaliknya Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi setiap negeri perlu meluluskan had hukuman bagi setiap kesalahan di peringkat negeri terlebih dahulu.

“Peluang untuk berbahas mengenai kadar hukuman yang munasabah masih terbuka di peringkat DUN. Pada masa ini, kesalahan di bawah Enakmen Jenayah Syariah negeri-negeri tertakluk kepada negeri masing-masing,” katanya.

Untuk rekod, Akta 355 perlu dipinda kerana pindaan terakhir dibuat pada 1984, sedangkan dalam tempoh itu, banyak hukuman di bawah Kanun Keseksaan dalam kesalahan jenayah yang lain telah dipinda serta dipertingkatkan berulang kali.

Sejak 1984 sehingga kini, Akta 355 hanya menetapkan hukuman maksima penjara tidak lebih dari tiga tahun, denda RM5,000 dan enam sebatan (atau dikenali sebagai 356). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast