Beliau mengakui ada kebenaran terhadap kenyataan Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan percaya Dr Mahathir bertindak sedemikian kerana tahu pandangan dan sikap sebahagian masyarakat Melayu terhadap Orang Cina.
“Jadi, dia (Dr Mahathir) hendak menakut-menakutkan (orang Melayu) tetapi orang Johor tidak menerima elemen perkauman,” kata Mohamed Khaled kepada para pemberita selepas lawatan kerjanya ke Parlimen Kluang, di sini Selasa.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Sultan Johor yang menzahirkan kekecewaan dan rasa tersinggung terhadap kenyataan Dr Mahathir terhadap pelaburan China di negeri ini.
Melalui temu ramah dengan sebuah akhbar berbahasa Inggeris baru-baru ini, Sultan Ibrahim turut mengingatkan jika perbuatan itu dibiarkan, ia boleh menjauhkan para pelabur untuk melabur di negara ini.
Baginda turut menyelar tindakan bekas Perdana Menteri itu yang dilihat sebagai meletakkan kepentingan politik melebihi kepentingan rakyat Malaysia, khususnya Johor.
Sementara itu, Mohamed Khaled berkata keputusan kerajaan Singapura untuk mengenakan Caj Jalan Raya Timbal Balas (RRC) sebanyak $6.40 dolar Singapura kepada semua kereta luar negara yang memasuki republik itu mulai 15 Feb ini perlu dihormati.
“Perkara itu kita kena lihat sebagai sesuatu yang positif bagi mengalakkan rakyat yang masuk ke Singapura setiap hari menggunakan kenderaan, supaya menggunakan pengangkutan awam,” kata beliau.
Mohamed Khaled yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas berkata demikian ketika mengulas langkah Singapura memperkenalkan RRC sebagai timbal balas terhadap Caj Jalan Raya Malaysia sebanyak RM20 bagi sekali masuk yang dikenakan terhadap kereta yang memasuki Johor mulai 1 Nov, tahun lalu.
Katanya, beliau difahamkan ramai rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura pada umumnya memasuki negara berkenaan menggunakan motosikal dan pengangkutan awam dan bukannya kereta.
Justeru, ia disifatkan tidaklah memberi kesan besar, katanya.
— BERNAMA