Penutupan sekolah itu masing-masing membabitkan 17 sekolah di Kota Marudu termasuk satu sekolah menengah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Langkon dan lima sekolah rendah di Pitas.
KOTA KINABALU – Sebanyak 22 sekolah di Kota Marudu dan Pitas termasuk satu sekolah menengah ditutup hari ini susulan banjir.

Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Maimunah Suhaibul berkata penutupan semua sekolah tersebut melibatkan 6,627 pelajar dan 605 guru.

“Penutupan sekolah itu masing-masing membabitkan 17 sekolah di Kota Marudu termasuk satu sekolah menengah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Langkon dan lima sekolah rendah di Pitas.

“Seramai 5,965 murid dan 550 guru sekolah rendah serta 662 pelajar dan 55 guru sekolah menengah terpaksa menangguhkan sesi pembelajaran pada hari ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, 185 mangsa banjir mula dipindahkan ke tiga pusat pemindahan di Kota Marudu, kata Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah Kolonel Muliadi Al-Hamdi Ladin dalam kenyataan.

Muliadi berkata mangsa dipindahkan ke Dewan Kampung Taritipan (93 orang), Balai Raya Talantang (52 orang) dan Dewan Kampung Morion (40 orang).

Beliau berkata sembilan lagi kampung dinaiki air iaitu Kampung Talantang I, Kampung Masolong, Kampung Magaratong, Kampung Rakit, Kampung Morion, Kampung Piso, Kampung Salimandut, Kampung Tandek dan Kampung Asin-Asin.

Hujan lebat dan renyai sejak 11.30 malam tadi menyebabkan air meningkat, katanya.

— BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast