Mohd. Zuhdi Marzuki

KUALA LUMPUR – Pusat Penyelidikan PAS (PPP) melihat hubungan kerjasama antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) semakin sukar dicapai.

Hendak-hendak pula apabila ada desas-desus PPBM ada hasrat menyerahkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada DAP sekiranya pembangkang memenangi pilihan raya umum kelak.

Pengarah Pusat Penyelidikan Pas, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki berkata, sekiranya desas-desus itu benar, Pas akan akan bertindak tegas untuk tidak lagi mewujudkan apa-apa hubungan kerjasama dengan PPBM.

“Khabar angin mengenai adanya pakatan sulit antara PPBM dan DAP untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada Lim Kit Siang ditiupkan oleh Tunku Aziz Tunku Ibrahim, bekas Naib Pengerusi DAP, dalam portal berita Malaysia Outlook, 31 Disember 2016 yang lalu.

“Selain daripada itu, Kit Siang juga dikatakan akan menjadi Menteri Kewangan mengikut pakatan tersebut,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd. Zuhdi, Tunku Aziz di dalam portal berita yang sama konsisten dengan dakwaannya malah mencabar Tun M dan Kit Siang untuk membuat perakuan bersumpah menafikan tuduhannya.

“Dakwaan Tunku Aziz ini mulai memperlihatkan kebenarannya apabila Tun M sendiri mengaku bahawa DAP memang meminta jawatan Timbalan Perdana dalam satu kenyataannya yang disiarkan oleh portal berita Antarapos semalam,” jelasnya lagi.

Perkembangan terbaru itu sememangnya mengejutkan, dan pihaknya yakin ia akan merencatkan sama sekali siri pertemuan antara Pas dan PPBM untuk menjalin hubungan kerjasama.

“Buat masa ini, Pas sama ada melalui Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa Kerja Pas Pusat belum membuat apa-apa keputusan untuk bekerjasama dengan PPBM.

“Yang ada ketika ini hanyalah siri-siri pertemuan dan program bersama untuk menerokai dan menjalin hubungan tersebut,” tegasnya.

Apa yang berlaku, katanya, seolah-olah menutup terus ruang kerjasama antara Pas dan PPBM.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast