KOTA KINABALU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menyenaraikan 12 jenis barangan kawalan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2017 untuk negeri Sabah bagi membendung peniaga daripada menaikkan harga barangan itu melebihi harga siling ditetapkan.
Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Jamil Salleh berkata penjualan 12 jenis barangan di bawah skim kawalan harga berkenaan berkuat kuasa mulai esok hingga 3 Feb.
Katanya barangan kawalan berkenaan termasuklah ayam standard, ayam super, telur awam gred A, telur ayam gred B, telur ayam gred C, kubis bulat import (Indonesia dan China), bawang putih (China), ikan bawal, udang putih besar daging babi (perut) dan daging babi (daging dan lemak).
“Saya berharap peniaga di sini dapat menjual barangan kawalan ini mulai esok mengikut harga yang telah ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan ke Pasar Kota Kinabalu di sini hari ini. Turut menyertai lawatan berkenaan ialah Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah Datuk Jainab Ahmad Ayid.
Jamil juga memberi jaminan bahawa bekalan barangan keperluan menjelang Tahun Baharu Cina adalah mencukupi dan pihaknya akan terus membuat pemantauan bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak kementerian.
Sementara itu, Jainab mengingatkan semua peniaga yang menjual barangan kawalan berkenaan agar meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi membezakannya daripada barangan bukan kawalan bagi memudahkan pengguna membuat pilihan dan pembelian.
Katanya kompaun serta-merta boleh dikenakan ke atas peniaga yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan.
Mengenai tinjauan harga di Pasar Kota Kinabalu hari ini, Jainab berkata ada antara barangan yang dijual peniaga, lebih murah berbanding harga ditetapkan pihak KPDNKK dan berharap peniaga akan terus mematuhi peraturan harga demi kebaikan semua pihak.
— BERNAMA