Elizabeth Wong

GOMBAK- Walaupun diselubungi kontroversi namun kerajaan Selangor mendakwa matlamat kempen caj 20 sen penggunaan beg plastik di pasar raya sejak 1 Januari lalu mendapat sambutan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong berkata, hasilnya sudah ada penduduk di negeri itu menggunakan beg sendiri ketika membeli-belah.

Bagaimana beliau mengakui matlamat kempen itu bukan ‘menghapuskan’ beg plastik tetapi hanya mengurangkan sahaja penggunaannya.

“Saya sudah tengok ramai bawa beg tidak kiralah beg kertas atau beg apa dan dapat reaksi positif, kita akan teruskan dalam bulan-bulan akan datang,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran Skim Peduli Sihat di sini hari ini.

Elizabeth bagaimanapun tidak menjawab soalan mengenai respon orang ramai supaya caj 20 sen yang dikenakan dikumpul menjadi dana bagi membolehkan pasar raya membekalkan beg bukan plastik kepada pelanggan pada masa depan.

Sebelum itu, Elizabeth dilaporkan berkata, caj 20 sen itu tidak dimasukkan dalam ‘kantung’ kerajaan negeri disebaliknya diambil oleh peniaga.

Menurutnya, bayaran tersebut akan dimasukkan ke dalam akaun peniaga sama seperti semua produk lain yang dijual.-MalaysiaGazette