KUALA LUMPUR – Bagi menyemarakkan lagi lanskap dunia hiburan tanah air selain memberi lebih pilihan kepada para penggemar muzik di negara ini, Astro Prima mengambil inisiatif baharu dengan mengangkat muzik aliran rock yang pernah mencetuskan fenomena luar biasa.

Mengetengahkan muzik tempatan pada pertengahan tahun 1980-an, satu program realiti terbaharu berjudul Rockanova bakal disiarkan di saluran rasmi Astro Prima (105) dan siaran serentak di Maya HD (135) bermula 29 Mac ini.

Rockanova adalah sebuah pencarian bakat yang berkonsepkan pertandingan nyanyian untuk mencungkil bakat nyanyian di kalangan peminat muzik rock.

Penyertaan adalah terbuka kepada semua warga Malaysia dan Singapura dan tidak boleh terikat dengan sebarang kontrak rakaman mahupun pengurusan dengan mana-mana syarikat.

Mengulas mengenai program terbaharu ini, Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, selari dengan matlamat Astro untuk menjadi peneraju kandungan utama di negara ini, pihaknya sentiasa mencari peluang untuk terus memperbaharui pengisian kandungan yang ditawarkan bagi mempertingkatkan nilai kedudukan di pasaran demi memikat hati penonton.

“Menerusi pengalaman luas kami dalam menerbitkan program pencarian bakat seumpama ini, kami sedar bahawa bidang seni muzik adalah satu cabang seni yang sering mendapat perhatian ramai.

“Industri muzik tanah air pula sudah semestinya memerlukan kehadiran lebih ramai generasi pelapis bagi menyemarakkan lagi dunia seni terbabit.

“Justeru, Rockanova bakal menjanjikan kelainan yang segar berbanding program-program sedia ada lain yang pernah kami terbitkan.

“Menerusi Rockanova, kami bukan sahaja ingin mencungkil bakat dan kebolehan penyanyi yang berpontensi untuk menjadi pelapis aliran ini, malahan juga ingin mengangkat martabat muzik rock ke peringkat yang lebih tinggi sekaligus meneruskan kesinambungan genre yang pernah satu ketika dulu menjadi fenomena ke generasi seterusnya,” kata dalam sidang media program itu baru-baru ini.

Sementara itu, bagi merancakkan lagi penganjuran musim yang pertama, kombinasi tiga ikon muzik dengan latar belakang port folio dan reputasi yang cukup disegani dalam persada muzik tanah air telah dilantik untuk menjayakan penerbitan Rockanova musim ini.

Rocker terkenal, Datuk Awie dan komposer popular tanah air, Edry Abdul Halim bakal digandingkan bersama sebagai Juri Tetap yang akan dipertanggungjawabkan untuk menilai persembahan para peserta berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan.

Datuk Hattan pula dilantik sebagai Guru Vokal dan Persembahan yang bakal memberikan khidmat bimbingan dan tunjuk ajar kepada para peserta supaya mereka benar-benar bersedia untuk menjadi pelapis, sekali gus memberikan saingan kepada penghibur sedia ada.

Tambah istimewa, kesemua ikon muzik tersohor ini juga turut dilantik sebagai juri tetap untuk sesi uji bakat bagi mengenal pasti calon-calon berpotensi untuk diketengahkan yang bakal diadakan pada 18 dan 19 Februari 2017 di Anggerik Mall, Shah Alam.

Calon peserta akan dinilai berdasarkan kriteria yang ditetapkan termasuklah daripada segi teknikal seperti kawalan suara, sebutan, pernafasan, intonasi, rentak, tempo, keserasian, harmoni penghayatan persembahan serta penilaian daripada segi karakter dan personaliti.

Menyedari perubahan bentuk komunikasi pengguna masa kini yang bersifat digital dan lebih interaktif, produksi Rockanova mengambil langkah proaktif untuk mendekati golongan sasaran kami dengan menjalankan uji bakat secara online untuk laluan pantas atau fast track yang mana calon peserta juga boleh memilih untuk menghantarkan penyertaan dengan memuat naik video nyanyian mereka dengan menggunakan kata kunci atau hashtag #bakatrockanova menerusi laman sosial Instagram.

Selain itu, calon peserta juga diberi pilihan untuk menyertai sesi uji bakat menerusi platfrom radio rasmi Rockanova iaitu Sinar FM di segmen petang, Santai Sinar yang dikendalikan oleh penyampai radio Salleh Yaacob dan Feeya Iskandar.

Program Rockanova turut memperkenalkan sistem pemarkahan yang berdasarkan 70 peratus oleh pihak juri dan 30 peratus berdasarkan undian SMS. Peserta yang mendapat markah paling rendah pada setiap minggu akan disingkirkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast