Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak beredar selepas membuat sidang media Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn, PWTC. foto SAFWAN MANSOR, 27 JANUARI 2017

KUALA LUMPUR – Kerajaan belum menetapkan sebarang tarikh untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri Sabah, kata Datuk Seri Najib Razak.

Justeru, Perdana Menteri berkata, ia masih spekulasi sama diadakan awal atau tidak.

“Kita tengok segala aspek terlebih dahulu dan ia masih (kekal) spekulasi,” ujarnya yang juga Presiden UMNO pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu di sini petang tadi.

Ketika ditanya sama ada mesyuarat MT UMNO hari ini yang menetapkan tarikh untuk mesyuarat UMNO peringkat bahagian dan cawangan sebagai indikator Pilihan Raya Umum Ke-14, Najib menafikannya kerana ia hanya proses biasa dalam parti.

Terdahulu, Najib memaklumkan MT UMNO hari ini bersetuju menetapkan tarikh persidangan cawangan-cawangan parti perlu diadakan pada 17 Mac hingga 30 April ini.

Ia kemudian diikuti mesyuarat perwakilan bahagian pada 7 Julai hingga 20 Ogos ini.

“MT juga mengumumkan akan menyambut ulang tahun UMNO termasuk menganjurkan pelbagai acara seperti karnival sukan, pidato dan kemucaknya satu perhimpunan besar-besaran pada 11 Mei,” katanya.

Perdana Menteri juga memberitahu, mesyuarat tertinggi parti bersetuju meneruskan wacana dan dialog TN50 di negeri-negeri selepas mendapat reaksi yang baik semasa pelancarannya di Universiti Malaya baru-baru ini.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast