Ong Ka Chuan

KUALA LUMPUR – Jangan ambil mudah kemasukan pelabur China, kerana mereka boleh memilih untuk beralih ke negara lain.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, dunia telah menjadi pentas untuk pelabur China kerana rizab yang mereka miliki adalah cukup untuk melabur di setiap pelosok dunia.

Beliau berkata, Malaysia akan kehilangan pelabur China jika tidak menghargai peluang yang ada pada masa ini.

Mengulas mengenai kenyataan “ancaman pelabur China”, Ka Chuan berkata, pengaliran sumber kewangan ke luar negara adalah fenomena biasa dunia.

“Hubungan China dengan negara-negara Eropah juga amat rancak, perkhidmatan kereta api kargo China dikesan di 18 bandar Eropah.

“Ini termasuk bandar di Sepanyol, Belanda, United Kingdom dan Poland,” katanya seperti dipetik Sinchew Daily.

Katanya, dakwaan bahawa rakyat China mahu memiliki kewarganegaraan Malaysia juga tidak masuk akal.

“Jangan pandang rendah China, ia adalah negara besar dan tidak masuk akal untuk rakyatnya meninggalkan kerakyatan China untuk menjadi warganegara Malaysia,” katanya.

Menurutnya, warga China khususnya warga emas gemar menghabiskan musim sejuk di hemisfera selatan seperti Pulau Hainan.

“Malaysia kini menawarkan alternatif kepada Pulau Hainan. Keadaan juga sama untuk rakyat di negara-negara lain di hemisfera utara di mana mereka gemar menghabiskan musim sejuk di negara tropika.

“Keadaan ini berlaku pada musim sejuk sahaja, bukan berpanjangan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast