Home Korporat Selepas kuasai pasaran tempatan, Fatihah Frozen mahu ‘takluki’ Jepun

Selepas kuasai pasaran tempatan, Fatihah Frozen mahu ‘takluki’ Jepun

Hazirah Che Hasim menunjukkan dua daripadaa 18 produk yang dikeluarkan oleh Fatihah Frozen Food di Kompleks Industri Makanan Mara, Kuala Lumpur . foto ADIB AIMAN ROSLI

KUALA LUMPUR – Mengakui tidak mudah bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk melihat produk mereka di rak-rak jualan pasar raya besar, jika tanpa sokongan kerajaan.

Ini kerana, untuk berada setanding dengan produk-produk multinasional, PKS tidak mampu membayar caj bulanan yang bukan murah, selain caj-caj lain yang turut dikenakan.

Lantaran itu, Fatihah Frozen Food Sdn. Bhd. (Fatihah Frozen) cukup berterima kasih dengan usaha kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) kerana sokongan itu membolehkan produk tempatan berada dalam pasar raya besar.

Mungkin tanpa sokongan KPDNKK, produk-produk Fatihah Frozen agak lewat dikenali dalam kalangan pengguna tempatan, kata Hazirah Che Hasim, Ketua Pegawai Eksekutifnya.

Fatihah Frozen yang menghasil dan memasarkan produk sejuk beku diwujudkan pada tahun 1994, kini menjadi antara jenama popular isi rumah kerana memiliki kepelbagaian produk.

Hazirah berkata, Fatihah Frozen menghasilkan 18 produk, antaranya, karipap, sardin roll, aiskrim goreng, samosa, popia, mini murtabak, cakoi dan sebagainya.

“Kami mempunyai produk untuk sarapan sehingga kundapan pada waktu malam. Produk-produk inilah menjadi kekuatan kepada jenama Fatihah Frozen.

“Selain itu, kekuatan produk kami pada rasanya. Pelanggan-pelanggan yang membeli produk ini pasti akan membeli untuk kali kedua dan seterusnya,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Faktor-faktor itu, kata Hazirah, menjadi faktor kejayaaannya menembusi pasaran luar negara dan setakat ini permintaan tidak pernah putus..

Produk Fatihah Frozen, semakin mengukuhkan kedudukannya di Brunei, Singapura, New Zealand dan China.

Fatihah Frozen yang kini dalam proses mendapatkan Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCPP) dijangka menerokai pasaran produk halal Jepun, Amerika Syarikat dan Dubai pada tahun depan.

Hazirah berkata, syarikat yang diasaskan oleh ibunya, Fatihah Anis Ibrahim sentiasa mencari peluang-peluang untuk mengembangkan perniagaan di luar negara selepas memberi tumpuan penuh dalam pasaran tempatan sejak 2010.

“Untuk terus berkembang, Fatihah Frozen tidak boleh berhenti setakat pasaran di Malaysia sahaja kerana jenama ini akan ‘tidur’.

“Lagipun rugilah jika kami tidak mengambil peluang-peluang yang diberikan kerana pasaran makanan tidak pernah terhenti, selagi promosi dilakukan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast