Noh Omar

KUALA LUMPUR – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar mengadakan perjumpaan dengan kepimpinan parti kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar berikutan kematian ADUNnya, Allahyarham Kamarol Zaki Abdul Malik pada 17 Januari lalu.

Menurutnya, perjumpaan itu bagi memastikan segala aktiviti yang dirancang sepanjang Allahyarham masih ada, dapat dilaksanakan mengikut jadual.

Katanya, beliau juga melantik koordinator dan pembantu koordinator untuk dilaksanakan seperti mana telah dirancang Allahyarham Kamarol Zaki serta kepimpinan UMNO Bahagian Sabak Bernam.

“Pada masa sama, saya ingatkan supaya perpaduan yang terjalin diperkuatkan dalam memastikan kerusi DUN Sungai Air Tawar kekal milik Barisan Nasional (BN).

“Di akhir perjumpaan itu, saya diberi jaminan oleh kepimpinan UMNO DUN Sungai Air Tawar untuk memberi kepercayaan kepada saya dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memilih koordinator dan penolongnya,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Kamarol Zaki, 58, meninggal dunia di rumahnya di Sabak Bernam, kira-kira jam 8 pagi, ketika beliau sepatutnya menghadiri satu program di kawasan DUN berkenaan.

Allahyarham dijumpai dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri dan pembantunya terpaksa memecahkan pintu rumah untuk membawanya ke hospital, tetapi disahkan telah meninggal dunia. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast