A. Kohilan Pillay

KUALA LUMPUR – Datuk A. Kohilan Pillay kesal apabila pembangkang yang didakwa memutarbelitkan insiden tarian singa di Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran Gerakan yang dihadiri Perdana Menteri Sabtu lalu.

Naib Presiden Gerakan itu berkata, pembangkang sengaja mendakwa singa itu enggan menari di hadapan Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong.

Menurut bekas timbalan menteri itu, tindakan pembangkang bersifat ‘politik kebudak-budakan’ selain tidak tahu menghormati adat dan tradisi komuniti Cina.

“Adalah menjadi tradisi untuk singa semasa mempersembahkan tarian yang mana ia akan mengupas buah limau bali dan limau mandarin.

“Singa itu sujud ke tanah dan mengupas beberapa buah limau mandarin atau dikenali sebagai nasib melambangkan ‘chin’ dalam bahasa Cina.

“Selain tarian akrobatik, kebangkitan singa mencari dan menemui chin dan memberikannya kepada tetamu khas yang hadir yang mana dalam kes ini adalah Perdana Menteri,” ujarnya kepada hari ini.

“Kohilan kecewa melihat pembangkang bersikap kebudak-budakan dan mempolitikkan tarian singa hanya untuk menyerang Perdana Menteri kita,” katanya.

Justeru dakwa beliau, pembangkang sengaja berniat jahat memburukkan imej dan sambutan Tahun Baru Cina.

“Mereka perlu menghentikan perbuatan tidak bermoral yang sengaja memutar belit cerita dan peristiwa untuk survival politik mereka.

“Pembangkang tidak seharusnya mempolitikkan sambutan perayaan yang diraikan dalam keadaan meriah dan harmoni oleh rakyat.

“Tindakan pembangkang telah merosakkan standard politik negara ini selain mewujudkan senario politik merbahaya atau konflik.

“Saya menggesa orang ramai bersama-sama mengutuk tindakan pembangkang ini demi mempertahankan norma-norma dan nilai sosiopolitik yang dipakai dalam masyarakat kita,” ujar Kohilan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast