MOHD YUSOF ABDUL RAHMAN

KUALA LUMPUR – Pengguna-pengguna Malaysia hanya tahu merungut jika berlaku kenaikan barang tetapi tidak mahu membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Sikap itulah yang menyebabkan para peniaga sewenang-wenangnya mengambil kesempatan kepada pengguna dengan menaikkan harga barang.

Sehubungan itu, Timbalan Presiden FOMCA, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, di Malaysia penguatkuasaan harga barangan dibuat berdasarkan aduan pengguna, meskipun ada tindakan dibuat semasa pemeriksaan mengejut dijalankan.

Tetapi, tindakan lebih cepat sekiranya kementerian berkenaan menerima aduan daripada pengguna.

“FOMCA tahu setiap kali berlaku kenaikan harga mesti pengguna merungut, marah, kecewa kerana barang-barang dan perkhidmatan pun naik harga. Tapi apa tindakan mereka?

“Merungut tidak menyelesaikan masalah, sepatutnya apabila beli barang ambil resit dan buat aduan kepada pejabat KPDNKK.

“Jika pengguna tidak membuat aduan memang sukarlah untuk KPDNKK mengambil tindakan. Peniaga ramai, jadi perlu ada aduan yang lebih spesifik dengan bukti bagi memudahkan tugas penguatkuasa,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Mohd Yusof mengakui kenaikan harga petrol dan diesel yang diumumkan malam tadi pastinya akan mendorong kenaikan harga barangan kerana bahan bakar itu terkandung dalam kos pengangkutan.

Namun, katanya, ia tidak bermakna kenaikan sebanyak 20 sen harga petrol menyebabkan peniaga menaikkan harga barangan sama dengan jumlah itu.

“Kalau kenaikan seumpama ini berlaku, laporlah kepada pihak berkuasa kerana cara kenaikan seperti itu salah. Cara ini mengambil kesempatan namanya,” tambah Mohd Yusof.

Ini kerana, tambah beliau, semasa harga petrol murah sejak dua tahun lalu, harga barangan mahu pun perkhidmatan tidak turun.

“Tetapi apabila harga petrol naik, semuanya naik,” ujarnya. – MalaysiaGazette