QUEBEC – Penuntut yang didakwa membunuh enam orang mangsa di Masjid Quebec City menetap di sebuah apartmen, berhampiran dengan masjid berkenaan.
Alexandre Bissonette, 27, didakwa di mahkamah semalam dengan enam pertuduhan membunuh dan lima percubaan membunuh di Pusat Budaya Islam de Quebec.
Polis berkata, penuntut itu bertindak seorang diri ketika melakukan pembunuhan tersebut.
Bissonette dalam Facebooknya memaklumkan beliau adalah peminat Presiden Donald Trump dan pemimpin parti konservatif Perancis, Marine Le Pen.
Beliau berpindah masuk ke blok apartmen yang berhampiran masjid itu bersama kembarnya. Beliau memandu trak Mitsubishi, kata jirannya.
Facebook Bissonette telah ditutup sejak kejadian serangan itu.
Polis enggan mendedahkan motif tembakan itu tetapi rakan-rakan suspek memberitahu media yang Bissonnette ada sentimen anti warga asing khususnya pelarian Islam.
Canada Broadcasting Corporation melaporkan, Bissonette menggunakna pistol 9 milimeter dan senapang namun pihak polis tidak memperincikan senjata yang digunakan oleh suspek.
Kejadian tembakan rambang jarang berlaku di Kanada dan serangan itu mendapat kecaman daripada Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau.
Negara itu mempunyai jumlah penduduk Islam sebanyak sejuta daripada 35 juta populasi keseluruhannya.
Kejadian itu menyebabkan pihak berkuasa mengetatkan kawalan keselamatan di semua institusi agama di daerah itu, yang merupakan lokasi kedua tertinggi jenayah berkaitan dengan prejudis keagamaan.
Data menunjukkan jenayah prejudis terhadap Islam di Kanada meningkat dua kali ganda antara tahun 2012 dan 2014. – MalaysiaGazette