Datuk Azam Baki

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang menyalahguna nama pegawai-pegawainya untuk kepentingan diri sendiri.

Tegas Suruhanjaya itu, pihaknya tidak teragak-agak untuk menjalankan siasatan dan bertindak ke atas individu yang menyalahgunakan nama SPRM.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Azam Baki berkata, pihaknya menerima maklumat terdapat individu yang menyamar sebagai pegawai SPRM yang kononnya boleh menyelesaikan kes-kes SPRM .

“Individu-individu ini dipercayai telah menggunakan nama pegawai kanan SPRM dan meminta sejumlah wang bagi tujuan menyelesaikan kes-kes tersebut.

“Sehubungan itu, SPRM berharap agar orang ramai tidak terperdaya dengan dakwaan seperti itu dan meminta mereka menghubungi SPRM terlebih dahulu untuk mengesahkan perkara tersebut,”.

“SPRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang menyalahgunakan nama pegawai-pegawai SPRM bagi kepentingan diri sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, siasatan akan dijalankan bagi membolehkan suruhanjaya itu mengambil tindakan ke atas mereka yang menyalahgunakan nama pegawai SPRM.

Katanya, individu-individu terbabit mendakwa mereka boleh menyelesaikan kes-kes SPRM yang masih dalam siasatan, perbicaraan mahkamah serta membersihkan nama mereka yang terdapat dalam senarai siasatan SPRM

“SPRM juga telah mengenalpasti beberapa individu yang terlibat dalam perbuatan tidak beretika itu yang boleh menjejaskan imej SPRM.

“Dalam pada itu, jika mana-mana individu yang terlibat gagal melaporkan perkara tersebut kepada SPRM, tindakan akan diambil ke atas mereka atas kesalahan bersubahat.

“Mereka yang ingin mengesahkan dan menyalurkan maklumat berhubung perkara tersebut, boleh menghubungi pegawai-pegawai SPRM, Tuan Fadzil Amin (019-6000981) dan Tuan Ahmad Nizam Ismail (019-4401112) atau email terus ke [email protected].,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast