GOMBAK – Lebih 1.6 juta pengunjung dari dalam dan luar negara, termasuk penganut agama Hindu, dijangka membanjiri Kuil Sri Subramaniyar Swami di Batu Caves pada sambutan Thaipusam ke-127 Khamis ini.

Pengerusi Kuil Sri Maha Mariamman Devasthanam, Tan Sri R. Nadarajah berkata, lebih 2,000 anggota polis dan keselamatan akan akan menjalankan tugas untuk menjamin keselamatan pengunjung.

“Thaipusam jatuh pada 9 Februari (Khamis) tetapi ia akan disambut mulai 7 hingga 12 Februari (Ahad) yang menyaksikan ramai penganut agama Hindu membayar nazar dengan membawa belanga berisi susu dan kavadi lebih awal bagi mengelak kesesakan pada hari sambutan.

“Mana-mana Kavadi yang dilarang agama Hindu iaitu mencucuk lembing panjang, trisula dan berdiri di atas parang akan dirampas manakala penggunaan plastik, polisterin dan vuvuzela dilarang sama sekali.

“Bagi mengelak kesesakan lalu lintas, orang ramai dinasihat menggunakan pengangkutan awam, Transit Rel Ringan (LRT) dan Tren Komuter Keretapi Tanah Melayu (KTM),” katanya kepada pemberita di sini.

Tambah beliau, pada tahun ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan hadir pada sambutan Thaipusam kerana beliau akan ke Sarawak.

Ujarnya, pihaknya telah menjemput Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk menghadiri sambutan Thaipusam dan kini sedang menunggu pengesahan kehadiran mereka.

Sementara itu, Nadarajah berkata, laluan bertangga keempat akan disediakan bagi kemudahan penganut agama Hindu membayar nazar.

Tambah beliau, perarakan pedati perak yang membawa patung Dewa Murugan akan bermula pukul 10 malam selepas upacara di Kuil Sri Maha Mariamman di Jalan Tun H.S.Lee pada 7 Februari ini.

“Pedati itu akan tiba di Batu Caves pukul 2 petang pada keesokan hari iaitu 8 Februari sebelum bendera ayam dikibarkan sebagai tanda bermulanya Thaipusam,” katanya. – Malaysiagazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast