Ribuan penganut Hindu mengambil kesempatan membayar nazar lebih awal menjelang sambutan khamis ini di Batu Caves. Foto: Kumara Sabapatty/ Baskaran Sundaram

GOMBAK – Sambutan Thaipusam yang ke-127 pada tahun ini bakal disambut pada 9 Februari dan jumlah pengunjung kali ini dijangka 1.6 juta orang.

Angka luar biasa itu lebih ramai berbanding sekitar 1.2 hingga 1.4 juta pengunjung dalam dan luar negara termasuk penganut Hindu pada tahun-tahun sebelum ini ke Kuil Sri Subramaniyar Swami, Batu Caves.

Berbaki empat hari lagi tetapi suasana sambutan Thaipusam di Batu Caves hari ini sudah sesak dengan penganut yang hadir.

Tinjauan MalaysiaGazette di Batu Caves mendapati, suasana di kuil dibanjiri penganut Hindu yang membawa kavadi, buaian tebu, belanga susu dan menaiki 272 anak tangga ke gua untuk membayar nazar.

Ada juga dalam mereka memboatkkan kepala membayar nazar kepada Dewa Murugan.

Walaupun penuh sampai ke tangga kuil namun keadaan masih terkawal tanpa berlaku insiden yang tidak diingini kerana ratusan sukarelawan dan anggota RELA bertugas.

Bagi Baskaran Sundaram, 39, ramai memilih datang ke Batu Caves hari ini seperti dirinya bagi mengelakkan kesesakan pada Khamis depan.

“Saya memang menjangkakan kesesakan hari ini yang kelihatan seperti sudah sampai Hari Thaipusam. Ramai yang menunaikan nazar awal kerana tidak mahu elak terperangkap dalam kebanjiran jutaan pengunjung pada sambutan Khamis nanti.

“Ada juga yang mendapati bekerja di luar daerah dan negeri dan terpaksa membawa anak dan keluarga bayar nazar awal selain ada yang merancang ke Pulau Pinang untuk meraikan sambutan Thaipusam di sana.

“Saya dapat lihat penganut bergerak lebih selesa membayar nazar dengan pantas tanpa kelewatan waktu dan ada yang mengambil kesempatan membawa anak bersantai di kuil,” katanya ketika ditemui di sini.

Bagaimanapun, kebanjiran penganut bayar nazar lebih awal tidak bermakna pengunjung pada hari sambutan Thaipusam 9 Fabruari ini akan berkurangan.

“Pada hari sambutan penganut dan pengunjung akan bersama keluarga lebih fokus kepada ratusan kavadi berwarna warni dan ribuan penganut akan bawa belanga susu dn buaian tebu pada hari itu nanti.

“Saya yakin lebih 2,000 polis yang akan bertugas nanti dapat membantu menjaga keselamatan pengunjung nanti seperti tahun-tahun lepas,” ujarnya lagi.

Sementara itu, keadaan trafik di sekitar kuil Batu Caves bergerak agak perlahan tetapi lancar dan terkawal dengan kehadiran polis trafik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast