Abdul Rahman Dahlan

KOTA BELUD – Setiausaha Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mencabar pemimpin dan parti pembangkang di Sabah agar membentangkan dasar ekonomi, sosial, pendidikan dan keselamatan yang lebih baik daripada BN untuk dinilai rakyat jika berhasrat menukar kerajaan sedia ada.

Katanya dasar seumpama itu penting untuk dijadikan panduan untuk rakyat membuat keputusan dan pilihan mengenai kerajaan yang akan dipilih mereka pada pilihan raya akan datang.

“Cuma, yang saya ingin beritahu rakyat Sabah, setahu saya, bila mendengar kenyataan daripada parti pembangkang, tidak ada satu pun yang bersifat dasar, sama ada dasar ekonomi, sosial dan pendidikan dan dasar keselamatan mereka. Yang kita tahu mereka mahu menjadi kerajaan negeri tanpa memberi tahu kepada rakyat apa dasar mereka.

“Semua orang tahu dasar pendidikan BN, dasar ekonomi BN, tetapi pembangkang? Jadi bagaimana rakyat mahu mengundi mereka kalau dasar merekapun kita tidak ketahui. Yang sekarang diwar-warkan pembangkang ialah siapa yang mahu jadi perdana menteri, siapa yang mahu menjadi ketua menteri. Ini semua jawatan berkepentingan,” katanya.

Abdul Rahman yang juga anggota Parlimen Kota Belud berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Pesta Angpau dan Anugerah Kecemerlangan Akademik 2017, Sekolah Jenis Kebangsaan (c) Chung Hwa di sini Sabtu malam.

Abdul Rahman kecewa kerana parti-parti pembangkang lebih cenderung menggunakan pendekatan menghasut, memfitnah dan memburuk-burukkan lawan politik mereka untuk meraih sokongan rakyat dan bukannya menawarkan dasar-dasar yang lebih baik daripada BN.

“Saya ingin memberi tahu pembangkang, kalau ingin menawan hati rakyat Sabah, mereka perlu datang dengan pengumuman dasar-dasar ekonomi, dasar sosial, dasar keselamatan dan dasar pendidikan mereka. Apa yang akan mereka buat yang berbeza dengan BN selama ini.

“Saya sebagai pemimpin BN akan ulas dasar parti pembangkang ini. Barulah kita dalam politik yang sihat. Barulah kita boleh membangunkan negara. Sekarang ini, tidak ada satupun, jadi bagaimana rakyat Sabah mahu pilih,” katanya.

Abdul Rahman yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata rakyat Sabah bukan bodoh dan mereka bijak memilih kerajaan yang layak untuk Sabah seperti yang dilakukan sebelum ini melalui penukaran kerajaan dan ketua menteri dalam pilihan raya.

Katanya sekiranya pembangkang hanya tampil dengan retorik semata-mata untuk menukar kerajaan dan pemimpin tanpa mengemukakan dasar-dasar, itu pasti tidak dapat diterima dan akan ditolak rakyat.

Menurutnya Sabah di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman sememangnya mempunyai dasar yang jelas mengenai hala tuju rakyat dan negeri ini untuk tempoh lima atau 10 tahun akan datang.

Pada majlis berkenaan, Abdul Rahman turut menyerahkan sumbangan Sistem Solar kepada sekolah berkenaan bagi mengurangkan pergantungan kepada sumber elektrik secara biasa.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast