KUALA LUMPUR – Keluar dan masuk parti adalah perkara biasa serta pernah berlaku sebelum ini, kata Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas, Datuk Hanapi Mamat merujuk tindakan seorang Ahli Jawatankuasanya letak jawatan dan keluar parti.
Menurutnya, UMNO Bahagian itu menerima seadanya setiap keputusan ahli jawatankuasa dan tidak ada masalah bagi parti kerana kepentingan rakyat adalah agenda utama untuk diperjuangkan.
“Kita terima seadanya. Tidak ada masalah. Keluar dan masuk parti adalah perkara biasa dan pernah berlaku sebelum ini. Kita menghormati keputusan itu.
“Bertukar juga sering berlaku. Tun Dr. Mahathir (Mohamed) dua kali keluar UMNO, Datuk Ibrahim Ali (bekas Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas) sampai empat kali keluar, begitu juga Datuk Zaid Ibrahim tiga kali keluar masuk parti,” katanya kepada MalaysiaGazette menerusi aplikasi Whatsapp hari ini.
Semalam, seorang AJK UMNO Bahagian itu, Anuwar Hamzah mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa dan serentak itu juga keluar dari parti.
Anuwar, 52, yang memegang jawatan itu sejak 2008 membuat keputusan demikian kerana kecewa dengan keadaan politik hari ini yang bercelaru dan memalukan.
Menurut Hanapi yang juga Setiausaha UMNO Kelantan, hanya yang istiqamah dan setia dengan UMNO akan melihat keikhlasan perjuangan.
“Saya harap ahli-ahli lain kekal dengan perjuangan murni ini. Pemimpin tak mungkin kekal, tetapi UMNO perlu dipertahankan untuk kekal membela Islam dan bangsa Melayu,” katanya. – MalaysiaGazette