KUALA LUMPUR – Penyanyi terkenal, Mariah Carey mempunyai cara tersendiri untuk melupakan bekas tunangnya yang juga hartawan Australia, James Packer.
Menerusi muzik video terbaharunya berjudul I Don’t, Mariah, 47, membakar gaun pengantin yang sepatutnya digayakan pada hari bahagianya bersama Packer.
TMZ melaporkan pakaian rekaan Valentino itu berharga AS$250,000 (RM1 juta) dan babak penyanyi itu membakar gaun berkenaan adalah sebagai mesej jelas kepada lelaki berkenaan.
Lebih dramatik, Mariah merakamkan muzik video berkenaan di rumah mewah yang dikongsi bersama Packer di Calabasas, California.
Pasangan berkenaan berpisah pada September tahun lalu selepas setahun menjalinkan hubungan cinta.
Dalam pada itu, lagu terbaharunya yang turut menampilkan penyanyi rap YG berkisarkan tentang hubungannya dengan James dan berharap ia dapat menjadi inspirasi kepada wanita lain yang turut mengalami situasi sama.
Penyanyi itu kini sedang menjalinkan hubungan dengan penyanyi latarnya, Bryan Tanaka yang berusia 34 tahun. – MalaysiaGazette