Zaid Ibrahim

PETALING JAYA – Ahli baharu DAP, Datuk Zaid Ibrahim mendakwa, cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) adalah projek baharu Pas untuk meraih sokongan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Beliau berkata, walaupun Pas menafikannya, rang undang-undang yang dicadangkan itu adalah sebenarnya ‘hudud di balik tabir’.

“Akta ini akan memecah-belahkan sistem perundangan negara, tetapi mereka tidak mengendahkannya.

“Menurut mereka (Pas), projek mereka diperlukan untuk mempertahankan Islam, tetapi sebenarnya mereka sedang memancing undi,” katanya pada sidang media mengumumkan beliau menyertai DAP di kediamannya di Tropicana Golf Resort di sini hari ini.

Kata Zaid, Pas hanya sebuah parti politik ‘penunggang agama’ yang hanya mampu berceramah tetapi pemikiran mereka bercelaru.

Ujar beliau, parti itu mendakwa kononnya menentang rasuah tetapi pada masa sama menyokong dasar pentadbiran UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Mereka kata mereka mahu membela Islam, tetapi langsung tidak mempedulikan isu keadilan dan kemanusiaan yang dituntut oleh Islam.

“Pas tidak berbuat apa-apa untuk menyelesaikan masalah rakyat, selain tiada sebarang perancangan ekonomi dan pendidikan,” tegas beliau. – MalaysiaGazette