Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR – Persidangan Meja Bulat Selamatkan Malaysia oleh pakatan pembangkang semalam mendakwa mereka semakin kuat dan mendapat sokongan rakyat.

Majlis anjuran DAP itu bagaimanapun tidak dihadiri wakil Pas walaupun dijemput Lim Kit Siang.

Bagaimanapun, rata-rata mereka melahirkan kebimbangan sokongan orang Melayu terhadap pembangkang menjelang PRU-14 terutama soal ketuanan Melayu.

Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu seperti contoh, mengakui walaupun isu berkaitan kepimpinan sekarang banyak tetapi orang Melayu belum ada keyakinan terhadap pembangkang.

“Isu banyak..orang sampai nak muntah. Semua orang tahu Perdana Menteri ‘jahat’ tapi persoalannya keyakinan orang Melayu..kita (pembangkang) kena bina keyakinan itu.

“(Isu) ketuanan Melayu tapi kalau jatuh BN apa nak jadi kepada orang Melayu. Ia persepsi bukan fakta dan ini akan dihadapi pada PRU akan datang,” ujarnya yang dikenali Mat Sabu semalam.

Menurut Mat Sabu, manifesto Buku Jingga pada pilihan raya umum lepas cukup baik kerana menawarkan penghapusan tol, PTPTN tetapi masih belum menjadikan pembangkang benar-benar ‘mencuri’ hati rakyat.

“Isu ketuanan Melayu ini zaman Mahathir lagi. Dalam masa yang singkat bukan senang nak buang,” akuinya pada majlis yang turut dihadiri Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu.

Justeru, beliau berharap Mahathir membantu pembangkang masuk ke kampung-kampung mengurangkan ‘ketakutan’ rakyat berkenaan isu ketuanan Melayu itu hilang atau tidak sekiranya pembangkang memerintah Malaysia.

Bagi Setiausaha DAP, Lim Guan Eng pula berpendapat pembangkang kena perlu ‘menawan’ pengundi di Sabah dan Sarawak kerana ia ‘kunci besar’ ke Putrajaya.

lim guan eng

Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata, pembangkang perlu menang lebih banyak di kedua-dua negeri itu dan menafikan ia ‘deposit tetap’ kepada BN.

Beliau juga membayangkan Perdana Menteri akan mengumumkan pilihan raya negeri Sabah lebih awal bagi mengukur kemampuan BN menjelang PRU-14 termasuk isu berkaitan Rang Undang-Undang 355.-MalaysiaGazette