Shaiful Haziziy

KUALA LUMPUR – Kerjasama politik antara Pas dengan UMNO bukan suatu keutamaan yang perlu diberi tumpuan, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Haziziy.

Sebaliknya, kata beliau, agenda utama yang harus diberikan tumpuan oleh UMNO negeri itu ialah menyelesaikan aku janji pilihan raya terdahulu, selain memperkemaskan gerak kerja jentera di peringkat parti.

“Pemuda menyarankan kepada parti agar agenda kerjasama politik dengan Pas bukanlah keutamaan yang perlu ditumpukan oleh UMNO pada masa ini.

“Apa yang perlu ditumpukan sekarang ialah menyelesaikan aku janji pilihan raya dan memperkemaskan gerak kerja jentera di peringkat parti, bukannya mengharapkan kemenangan hasil daripada kelemahan dan perpecahan pihak lawan.

“Kita yakin UMNO sebagai sebuah kerajaan perlu membuat kerja-kerja “mentadbir” serta memberi penumpuan penuh kepada rakyat,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab kenyataan Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr. Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi semalam, yang menolak hasrat Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah untuk menjalin kerjasama dengan parti itu.

Menurut Shaiful, pada pilihan raya lalu, rakyat memberi mandat dan kepercayaan kepada UMNO dan rakyat yakin parti itu serta Barisan Nasional (BN) mampu menggalas tanggungjawab mereka sebagai sebuah kerajaan.

Beliau menyeru, agar jentera dan ahli parti tidak terlalu terbawa-bawa dengan agenda kerjasama politik yang belum pasti.

“Hakikatnya ahli UMNO perlu yakin dengan kepimpinan sedia ada dan pada masa sama memperkuatkan parti dari dalam bagi memastikan ianya berada dalam keadaan yang lebih bersedia menghadapi PRU akan datang.

“Kerjasama politik yang mungkin bakal terjadi boleh dianggap sebagai bonus politik, bukannya sebagai agenda tetap parti bagi menghadapi PRU akan datang,” katanya.

Namun, menurut beliau, Pemuda UMNO Kedah menyedari telah wujud satu kematangan politik yang tinggi antara kedua-dua parti itu.

Jelas beliau, Konsep kerjasama tidak perlu semata-mata ditakrifkan daripada ruang lingkup politik, tetapi ianya melibatkan keperluan dan persefahaman yang bersifat ummah.

Kata Shaiful lagi, perjuangan memperkasa Mahkamah Syariah menerusi Rang Undang-Undang 355 (RUU 355) dan misi kemanusiaan adalah satu permulaan yang baik serta wajar diteruskan. – MalaysiaGazette