KUALA LUMPUR – Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Anifah Aman juga menafikan beliau adalah menteri kanan yang mahu melepaskan jawatannya.
Penjelasan itu dibuat oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Masidi Manjun menerusi laman Twitter.
Menurut Masidi, perkara itu disahkan oleh Anifah ketika bertemu semasa supper malam tadi.
Beliau turut memuat naik gambarnya bersama Anifah, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.
Isu peletakan jawatan seorang menteri kanan menjadi kecoh selepas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membuat dakwaan menteri tersebut tidak mahu terlibat dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan khabar angin itu.
“Tiada seorang menteri pun yang memaklumkan kepada saya untuk berhenti,” kata Najib.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang turut dikaitkan dengan spekulasi itu menafikan beliau adalah individu yang didakwa Mohamed Azmin. – MalaysiaGazette