LUNDU: Bapa mentua Rapelson Richard Hamit, calon Parti Bansa Dayak Sarawak Baru dalam pilihan raya kecil Tanjong Datu, berkata beliau tidak bersetuju menantunya menentang calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amar Jamilah Anu.
Galau anak Galih, 54, ketua rumah panjang dengan 19 keluarga di Kampong Temalan Dayak dekat sini, berkata beliau percaya menantunya itu diperdaya untuk bertanding.
Katanya selaku anggota Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, beliau perlu membuat penjelasan agar tidak dianggap anti kerajaan, katanya kepada Bernama.
Galau hanya mengetahui Rapelson akan bertanding menentang Barisan Nasional (BN) pada saat akhir menjelang hari penamaan calon.
Beliau tidak kisah jika Rapelson bertanding di tempat lain tetapi yang dikesalkan ialah menantunya itu bertanding sebagai pembangkang di Tanjong Datu.
“Saya tinggal dalam kawasan Tanjong Datu dan sudah banyak menerima pelbagai kemudahan daripada kerajaan.
“Tambahan pula saya ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan menjadi ketua masyarakat di kampung saya,” katanya.
Galau berkata, jika mengetahui hasrat menantunya itu dari awal beliau pasti sedaya upaya menghalangnya daripada bertanding.
“Ya, …ini memang hal politik dan dia bebas bertanding, tetapi tempatnya tidak sesuai kerana kami yang tinggal di kawasan Tanjong Datu ini masih rasa terkesan dengan kematian Tok Nan (Allahyarham Tan Sri Adenan Satem) yang begitu banyak jasanya kepada kami penduduk di sini,” katanya sambil memaklumkan menantunya itu bukan berasal dari Tanjong Datu.-MalaysiaGazette