Zaid Ibrahim

KUALA LUMPUR – Selepas ditegur Gobind Singh, Datuk Zaid Ibrahim cepat-cepat menafikan ada menamakan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai pemimpin de facto pakatan pembangkang.

Menurutnya, beliau tidak berhasrat mencadangan bekas Perdana Menteri keempat itu sebagai pemimpin utama.

Beliau juga tidak mahu mengulas lanjut mengenainya.

Semalam, Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo menafikan kenyataan Zaid yang Mahathir sekarang adalah pemimpin de facto pembangkang.

Kepada sebuah portal, bekas menteri undang-undang itu dipetik berkata pembangkang sudah ada pemimpin dan Mahathir satu-satunya tokoh yang mampu menyatukan pembangkang dalam ‘ketiadaan’ Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Zaid juga berkata, Mahathir dilantik dalam satu ‘persetujuan senyap’.

Bagaimanapun, Gobind menafikan ada ‘persetujuan senyap’

“Tidak ada perkara seperti itu yang pernah dibincangkan atau dipersetujui oleh Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP.

“Saya merasa pelik bila Zaid memilih untuk membuat apa-apa pengumuman sebagai ahli DAP tanpa terlebih dahulu berunding dengan kepimpinan parti. Beliau sepatutnya lebih tahu.

“Ia adalah CEC yang memutuskan bagi pihak DAP dan tidak pernah ada apa-apa keputusan dibuat,” ujar pemimpin kanan DAP itu dalam sau kenyataan.

Nampaknya Zaid mungkin terlepas pandang yang beliau sebenarnya menyertai DAP bukan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dipengerusikan oleh Mahathir.

Nampaknya pujian melambung terhadap Mahathir masih belum diterima oleh sesetengah pemimpin Pakatan Harapan walaupun sebelum ini Mahathir dibawa mereka berceramah ke merata-rata untuk menentang kerajaan.

Sesetengah pemerhati politik juga melihat Zaid yang biasa mengulas secara bebas perkembangan pembangkang ‘terlupa’ yang beliau kini berada dalam ‘kapal’ DAP.

Mahathir pun secara sinis semasa masjli pengumuman kemasukan Zaid ke dalam DAP juga pelik kenapa Zaid memilih DAP tetapi bukannya PPBM atau PKR sebagai partinya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast