KUALA LUMPUR – Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP) mendesak kerajaan Pulau Pinang tidak lagi campur tangan dalam urusan fatwa negeri sebagaimana berlaku melibatkan fatwa penggunaan Kalimah Allah sebelum ini.
Menurut Ketua Penerangannya, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali, Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri (2004) jelas menuntut fatwa negeri itu terus dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam Pulau Pinang.
Katanya, bukan dibawa kepada ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang dipengerusikan Ketua Menterinya, Lim Guan Eng terlebih dahulu.
Menurut beliau, surat rasmi yang dikeluarkan Exco, Abdul Malek Abdul Kasim kepada bekas Mufti Pulau Pinang, Datuk Hasan Ahmad yang tersebar di media sosial jelas menunjukkan campur tangan kerajaan terhadap proses pembuatan fatwa melibatkan kalimah Allah.
“Exco berkenaan tidak perlu berbelit menafikan dan berdolak dalih bagi mempertahankan diri serta mempertahankan tindakan salah kerajaan negeri pimpinan Guan Eng,” tegas beliau dalam kenyataan kepada media di sini, semalam.
Kata Dr. Mohd Khairuddin, kenyataan Hassan dan salah seorang jawatankuasa fatwa, Datuk Md. Salleh Ahmad pada 8 Februari lalu yang menyebut ada fatwa oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang yang tidak dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong kerana campur tangan politik adalah sesuatu yang berat dan serius.
“Ini jelas melibatkan campur tangan politik kerajaan DAP dalam proses fatwa yang mungkin tidak sehaluan dengan pendirian kerajaan negeri.
“Perkara ini tidak boleh dipandang ringan oleh umat Islam. Campur tangan sebuah kerajaan khususnya yang diketuai bukan Islam terhadap fatwa adalah satu penghinaan terhadap agama Islam yang menjadi agama bagi Persekutuan.
“Sekiranya dengan hanya memerintah negeri, DAP sudah terlalu berani mencampuri urusan agama Islam, alangkah bahaya sekiranya mereka menjadi sebahagian pemerintah negara sebagaimana impian Pakatan Harapan (PH),” ujar beliau. – MalaysiaGazette